Kurang 30 peratus keluar parti, Bersatu Kedah tidak terjejas

Ahli Bersatu Kedah yang hadir ke Majlis Santai Bersatu Kedah di Dewan Seri Berangan, Kampung Permatang Berangan di Sungai Petani hari ini.
Ahli Bersatu Kedah yang hadir ke Majlis Santai Bersatu Kedah di Dewan Seri Berangan, Kampung Permatang Berangan di Sungai Petani hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah tidak terjejas dengan tindakan ahli meninggalkan parti.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kedah, Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah berkata, jumlah ahli Bersatu di negeri ini ialah 45,000 orang dan mereka yang bertindak keluar parti kurang daripada 30 peratus daripada jumlah tersebut.

Beliau berkata, angka itu tidak mendatangkan kebimbangan kepada Bersatu Kedah memandangkan ahli yang masih kekal menunjukkan kesetiaan dan sedia berjuang demi parti.

Malah, katanya, segelintir ahli bertindak keluar parti adalah disebabkan merajuk dan kecewa setelah kalah dalam pertandingan serta tidak mendapat jawatan, sekali gus menyokong penubuhan parti baharu yang diasaskan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya rasa setakat ini saya tidak mahu spektikal sangat. Saya ingin menyatakan bahawa belum sampai 30 peratus lagi daripada statistik yang saya dapat (keluar parti).

"Ketua bahagian atau pemangku ketua bahagian memberi laporan kepada saya setiap minggu supaya saya dapat buat pemutihan serta dapat mengetahui berapa banyak yang akan keluar parti," katanya kepada media ketika hadir ke Majlis Santai Bersatu Kedah di Dewan Seri Berangan, Kampung Permatang Berangan di sini hari ini.

Pada majlis sama, Mohd Suhaimi turut menerima sebanyak 253 borang keahlian baharu bagi menyertai Bersatu.

Sementara itu, Mohd Suhaimi berkata, beliau menjangkakan seramai 1,500 orang perwakilan akan menghadiri persidangan pada 22 Ogos depan membabitkan sembilan bahagian di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, persidangan di enam bahagian; antaranya Merbok, Kuala Kedah, Jerlun, Sungai Petani, Kubang Pasu dan Padang Terap tidak dapat dilaksanakan disebabkan berlaku kekurangan dokumen yang masih dipegang pihak ahli yang keluar parti.

"Malangnya persiapan seperti fail dan peralatan pengundian tidak diserahkan kepada kepimpinan baharu. Saya selaku Badan Pimpinan Bersatu Kedah tidak mendapat kerjasama dari rakan lama menyebabkan kami perlu batal dan lapor kepada Majlis Tertinggi sebelum keputusan diambil bahawa enam bahagian tidak dapat bersidang dan dianggap sebagai penaja," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, Bersatu tidak dapat menafikan sumbangan Dr Mahathir kepada parti selain berasa sedih apabila bekas Perdana Menteri itu tidak lagi sehaluan dengan parti.

"Kami hormat beliau sebagai bekas pemimpin parti dan kebanyakan daripada pimpinan Bersatu Kedah pada hari ini amat hormat kepada Dr Mahathir dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau," katanya.