X

Kindly register in order to view this article
!

Saman Najib terhadap AmBank perlu perbicaraan penuh

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Mahkamah Tinggi hari ini.- Foto: BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa saman yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap Ambank dan bekas Pengurus Perhubungannya, Joanna Yu Ging Ping perlu perbicaraan penuh kerana ia melibatkan pelanggaran tugas bank dan pegawainya.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib berkata, terdapat transaksi yang mencurigakan dalam akaun Ambank anak guamnya.

"Bank mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu tetapi gagal membuat laporan kepada pihak berkuasa. Ini masalah serius," katanya sambil menambah bahawa saman itu tidak ada kaitan dengan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi anak guamnya.

Harvinderjit berkata demikian semasa berhujah membantah permohonan AmBank, AMMB Holdings Berhad dan Yu dan untuk membatalkan tuntutan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata bank berkenaan tidak memaklumkan Najib mengenai urus niaga yang mencurigakan itu dan anak guamnya hanya mengetahuinya semasa perbicaraan SRC International yang melibatkan dana berjumlah RM42 juta tahun lepas.

“AmBank telah (didakwa) didapati bersalah (oleh Bank Negara) kerana tidak melaporkan transaksi mencurigakan dalam akaun plaintif. Kami tidak tahu. AmBank tidak memaklumkan kami. Pihak berkuasa tidak memaklumkan kepada kami sehingga prosiding SRC,” katanya.

Sementara itu, peguam AmBank, Yoong Sin Min berhujah bahawa tuntutan Najib perlu dibatalkan kerana saman yang dikemukakan Najib untuk menggagalkan dan mengganggu prosiding SRC International terhadapnya.

Beliau berkata, plaintif mendakwa dimanipulasi melibatkan wang RM42 juta tetapi bekas Perdana Menteri itu tidak pernah membuat laporan polis.

"Plaintif seharusnya mengetahui tentang pergerakan wang dari akaunnya," katanya.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Yu berhujah bahawa saman yang difailkan terhadap anak guamnya hanya untuk kepentingan kes SRC Najib.

"Kes SRC yang dihadapi Najib didengar di mahkamah jenayah... bagaimana mungkin kes yang sama dibawa ke mahkamah sivil," katanya sambil menambah bahawa tindakan itu adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

Najib menerusi Tetuan Shafee & Co telah memfailkan saman tersebut pada 9 Disember tahun lepas dan menamakan AmBank, AMMB Holdings Berhad serta Yu sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif (Najib) mendakwa AmBank dan Yu melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya (berakhir 694, 880, 898 dan 906) dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib mendakwa, defendan tanpa kebenaran telah mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana akaun 694 kepada Low sebagai pihak ketiga.

Beliau mendakwa, defendan tidak berhubung dengannya untuk melaporkan tindakan Low mengenai akaun bank tersebut dan bank itu telah memudahkan pihak ketiga yang tidak sah untuk membuat pemindahan wang antara akaun 880, 898 dan 906.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, beliau tidak tahu menahu mengenai butiran penyata akaun banknya sendiri dan dokumen atau berkaitan lain oleh pihak bank di bawah arahan Low.

Najib mendakwa, Low dengan bantuan pihak ketiga yang tidak dibenarkan, telah membuat 20 urus niaga untuk menguruskan akaun-akaun berjumlah RM12 juta melalui beberapa kiriman wang tempatan dan asing dan akaun tersebut telah diberi ‘amaran’ oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, defendan gagal melaporkan dan mendapatkan arahan langsung daripadanya walaupun akaunnya diberi amaran.

Najib juga mendakwa bahawa beliau hanya mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh defendan semasa perbicaraan SRC, selepas pendakwaan mendedahkan perbualan antara Yu dan pihak ketiga.

Beliau memohon ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan daripada defendan.

Pada 28 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kes jenayah membabitkan dana SRC International.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris bersambung esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!