Warga China cuba rasuah PGA ditahan

Seorang lelaki warga China ditahan selepas disyaki cuba merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menahannya ketika cuba memasuki negara ini secara haram di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar pada Rabu lepas. Gambar hiasan.
Seorang lelaki warga China ditahan selepas disyaki cuba merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menahannya ketika cuba memasuki negara ini secara haram di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar pada Rabu lepas. Gambar hiasan.
A
A
A

PADANG BESAR -Seorang lelaki warga China ditahan selepas disyaki cuba merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menahannya ketika cuba memasuki negara ini secara haram di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar pada Rabu lepas.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohd Ji berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, lelaki berusia 40-an itu cuba menyogok wang tunai sejumlah USD3,069 (kira-kira RM12,844.70) dan dua jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM3,500 kepada anggotanya.

“Tujuan suspek menawarkan wang dan jam tangan adalah supaya anggota PGA yang bertugas melepaskannya dari kesalahan memasuki Malaysia tanpa melalui Pos Kawalan Imigresen yang diisytiharkan, memiliki dua buah pasport 'Republic Of China' dipercayai milik orang lain dan menceroboh pagar keselamatan sempadan di kawasan Tiang TNB 23 BKC 7,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, walaupun anggota PGA telah beberapa kali memberi amaran kepada suspek untuk tidak menyogok anggota namun ia tidak dihiraukan oleh suspek, malah suspek akan menambah jumlah sogokan jika wang yang ditawarkan dirasakan tidak mencukupi.

Abdul Ghani berkata,hasil pemeriksaan menemui dua pasport China bukan milik suspek dan PGA turut merampas 50 keping wang tunai Amerika Syarikat (AS) bernilai RM12,869 serta dua jam tangan.

"Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM16,367 dan kes diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut mengikut Sekysn 17 (B) Akta SPRM 2009," katanya.

Sementara itu Abdul Ghani berkata,PGA menahan lima suspek dan merampas 1.6 tan (1,620kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM49,200 menerusi lima siri rampasan Op Benteng yang bermula 15 Ogos hingga semalam dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: