X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Sediakan bas untuk pejalan kaki di Tambak Johor

Solihan (kanan) dan Baharuddin meninjau keadaan di Tambak Johor susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura selepas melawat CIQ Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan berbincang dengan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) bagi menyediakan bas untuk pejalan kaki dari Tambak Johor ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di Woodlands, Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri berkata, ini kerana selepas pemeriksaan di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, orang ramai yang tidak mempunyai kenderaan terpaksa berjalan kaki menerusi Tambak Johor sejauh kira-kira 4 kilometer untuk sampai ke CIQ di Woodlands.

"Kita akan mohon kepada PAJ supaya menyediakan sebuah bas kecil dengan kapasiti 22 penumpang. Bas ini diharapkan percuma sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) PAJ.

"Perjalanan bas ini hanya dalam kawasan Malaysia sahaja dan tidak masuk sempadan Singapura. Pada masa sama mereka yang berjalan kaki dari CIQ Woodlands juga boleh menaiki bas ini ke Johor," katanya pada sidang akhbar selepas melawat CIQ BIS, hari ini bersama-sama Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir.

Solihan (kiri) meninjau keadaan di Tambak Johor susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura selepas melawat CIQ Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini.
Solihan (kiri) meninjau keadaan di Tambak Johor susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura selepas melawat CIQ Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini.

Sempadan Malaysia-Singapura yang ditutup sejak hampir enam bulan lalu mula dibuka semula secara rasmi pada hari ini menerusi fasa pertama di CIQ BSI dan CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB), Gelang Patah.

Mereka yang dibenarkan keluar dan masuk itu membabitkan kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dengan jumlah 2,060 orang sehari masing-masing di BSI dan BSAB.

RGL membenarkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara, PCA pula membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah satu negara memasuki negara itu.

Solihan berkata, perkhidmatan bas itu akan dimulakan dalam masa terdekat termasuk selepas mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jumlah bas yang akan disediakan katanya, ditentukan selepas pihaknya melakukan kajian dan penelitian terhadap keperluannya termasuk anggaran bilangan penumpang.

Sementara itu, beliau berkata, mereka yang ingkar dan gagal mematuhi arahan kuarantin wajib 14 hari di rumah selepas pulang dari republik itu akan dikenakan tindakan.

Jelasnya, kerajaan mempunyai cara untuk mengesan mereka sekiranya berdegil dan boleh mengesan ke mana mereka pergi.

"Sebelum mereka ditahan dan dipenjarakan seperti mana berlaku di Kedah, lebih baik mereka mematuhi arahan ini. Ini untuk memastikan kesejahteraan mereka, keluarga dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!