Belum ada keputusan batal penerbangan perubatan ke Indonesia

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang belum membuat keputusan berhubung pembatalan perkhidmatan penerbangan carter perubatan antara Pulau Pinang dan Indonesia buat sementara waktu, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, penerbangan carter perubatan masih dibenarkan selagi semua yang terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan telah mendapat kebenaran yang sewajarnya.

"Bagaimanapun, semua ini akan dikaji dari semasa ke semasa," jelas beliau ketika ditanya sama ada ketika ini sesuai untuk tetap membenarkan penerbangan masuk walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 di Pulau Pinang.

Chow berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai jumlah pesakit dan pelancong perubatan dari Indonesia yang tiba di Pulau Pinang baru-baru ini untuk pelancongan perubatan.

Pada 14 Ogos, AirAsia mengadakan penerbangan carter perubatan antarabangsa pertamanya dari Medan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pada hari yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.com, Karen Chan dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat penerbangan itu bekerjasama dengan institusi perubatan dan pihak berkuasa kerajaan untuk memastikan pesakit dan pelancong perubatan dari Indonesia mendapat akses yang lebih luas kepada rawatan perubatan dan perkhidmatan kesihatan di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan penerbangan carter perubatan.

Pengumuman itu telah mencetuskan kontroversi di media sosial, yang menyatakan kebimbangan mereka kerana jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Indonesia serta potensi risiko penularan Covid-19 di Pulau Pinang.

Kementerian Kesihatan Indonesia hari ini mengumumkan 2,081 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah jangkitan di seluruh negara itu kepada 139,549. - Bernama

Artikel Berkaitan: