KKMM akan lancar modul kemahiran keibubapaan siber

Saifuddin melihat ciptaan robatik pada Majlis Penutupan Karnival Digital Indera Mahkota di Dewan Atabara, Indera Mahkota 4 hari ini.
Saifuddin melihat ciptaan robatik pada Majlis Penutupan Karnival Digital Indera Mahkota di Dewan Atabara, Indera Mahkota 4 hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan melancarkan modul kemahiran keibubapaan siber bagi mendidik dan mengawasi penggunaan peranti elektronik anak dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, modul itu akan dibangunkan Cyber Sekuriti Malaysia bagi memastikan teknologi digital digunakan secara selamat dengan pengawasan ibu bapa.

"Sebelum ini, kita mengajak seluruh masyarakat menggunakan teknologi digital dengan segala bentuk peranti yang ada tetapi jarang dibincangkan ialah keselamatan siber. Bagaimana ibu bapa mendidik anak-anak dan mengawasi perkembangan anak-anak yang menggunakan teknologi serta peranti.

"Jadi saya rasakan perkara ini (pengawasan) yang harus dilihat dan sebab itu, modul ini (kemahiran keibubapaan siber) diwujudkan. Modul ini akan dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam masa terdekat di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya Majlis Penutupan Karnival Digital Indera Mahkota di Dewan Atabara, Indera Mahkota 4 hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu dan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Zaimi Abu Bakar.

Saifuddin berkata, modul itu nanti akan dipaparkan kepada umum dan ibu bapa boleh menggunakannya pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota bersama Andansura juga mengambil inisiatif tertentu bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak prasekolah di Parlimen Indera Mahkota terhadap aspek kawalan penggunaan gajet dan teknologi di peringkat pendidikan awal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, aspek kawalan kendiri dalam penggunaan gajet dan aplikasi teknologi perlu diterapkan sejak usia muda.

"Jadi sebagai nilai tambah, saya dan Andansura merancang untuk melibatkan guru prasekolah seperti di tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang mana cadangan itu akan diutarakan kepada pihak terlibat untuk memberi pendedahan itu (kawalan penggunaan gajet).

"Anak kecil semakin biasa dengan telefon pintar menyebabkan kita perlu mendidik mereka bagaimana mahu menggunakannya dengan bertanggungjawab. Kita tidak mahu berlaku perkara seperti buli siber yang boleh menjejaskan psikologi mereka," katanya.

Ditanya mengenai undang-undang antibuli siber, Saifuddin berkata, Universiti Multimedia (MMU) telah menjalankan penyelidikan dan kajian berkaitan akta tersebut.

"Pada Sidang Parlimen, saya ada sebut mengenai akta antibuli siber dan beberapa ahli Parlimen mendesak supaya diadakan akta berkenaan.

"Kajian sedang dibuat dan kita harap draf pertama akta itu akan dibentangkan hujung tahun ini," katanya.