Pembayaran gaji: Modul e-wages turut libatkan pekerja asing

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memperincikan mekanisme pemantauan pembayaran gaji menerusi modul e-Wages yang dicadangkan untuk meliputi semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, mekanisme itu bertujuan memudahkan pemantauan serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perburuhan.
Menurut beliau, pelaksanaan e-Wages akan memastikan pembayaran gaji dibuat mengikut kaedah dan tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955.
Katanya, mekanisme tersebut juga dapat memastikan majikan membayar gaji seperti yang dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan, termasuk kadar gaji, elaun, insentif dan bonus.
“Isu gaji pekerja tidak dibayar, lewat dibayar serta dibayar tidak mengikut kadar sebenar atau di bawah kadar gaji minimum dapat dikurangkan,” katanya pada sidang akhbar di Menara PERKESO, di sini, pada Jumaat.
Ramanan berkata, cadangan memperluaskan pelaksanaan mekanisme itu kepada pekerja bukan warganegara merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh pemantauan pembayaran gaji pekerja di negara ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027 menerusi Belanjawan MADANI 2027.
Kenaikan tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian sementara bagi membolehkan penyesuaian dibuat.
Pada masa sama, KESUMA sedang menyediakan garis panduan gaji pokok permulaan berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) sebagai rujukan kadar gaji mengikut jenis pekerjaan dan tahap kelayakan.
Ramanan berkata, kadar gaji pokok permulaan itu akan dikemas kini menggunakan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurutnya, maklumat tersebut dijadualkan dimuat naik ke portal e-MASCO dan diterbitkan bersama Perintah Gaji Minimum Baharu yang dijangka berkuat kuasa pada Jun 2027.
Beliau berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membangunkan struktur gaji yang lebih jelas, tersusun dan berasaskan jenis pekerjaan, kelayakan serta kemahiran pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

