Abd Rahman Arshad meninggal dunia

Abd Rahman Arshad
Abd Rahman Arshad
A
A
A

SHAH ALAM - Tokoh pendidik terkemuka negara yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Abd Rahman Arshad, 84, dilaporkan meninggal dunia pada jam 10.45 pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi akaun Instagram miliknya kira-kira dua jam lalu.

"Hari yang amat sedih bagi saya tatkala guru saya dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Rahman Arshad telah kembali menemui ajal awal pagi tadi.

"Semoga ALLAHmencucuri roh arwah dengan rahmah dan maghfirahNya," tulisnya.

Menerusi catatan sama, Anwar berkata, beliau sempat mengunjungi Allahyarham beberapa minggu lalu.

Anwar berkongsi berita kematian Abd Rahman di Instagram miliknya hari ini.
Anwar berkongsi berita kematian Abd Rahman di Instagram miliknya hari ini.

"Mendoakan kekuatan dan kecekalan buat keluarga saat ditimpa ujian ini," katanya.

Difahamkan jenazah Abdul Rahman yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan dijangka akan dikebumikan di tempat kelahirannya di Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham mendapat pendidikan awal di sekolah rendah dan menengah di Melaka.

Selepas itu, Allahyarham memasuki Universiti Malaya (UM) dan kemudian menyambung pengajian di Universiti Singapura sebelum mendapat ijazah doktor falsafah (PhD) di University of East London.

Allahyarham berkhidmat dalam Kementerian Pendidikan Malaysia lebih 30 tahun bermula sebagai guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menjadi Timbalan Pengarah Pendidikan di Pulau Pinang dan Kedah dan beberapa tahun selepas itu dinaikan pangkat sebagai Ketua Pengarah Pendidikan sebelum bersara pada November 1991.

Allahyarham juga pernah menjadi diplomat di Maghribi, Manila dan Thailand.

Abdul Rahman turut diberikan kepercayaan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi tahun 2014 hingga 2016.