Perak Bison sedia pertahan kejuaraan STL

Abdul Puhat (berdiri, tengah) bersama barisan pemain dan pegawai Perak Bison meraikan kejayaan muncul juara STL Premier tahun lalu.
Abdul Puhat (berdiri, tengah) bersama barisan pemain dan pegawai Perak Bison meraikan kejayaan muncul juara STL Premier tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Selepas lebih sebulan menjalani latihan, Perak Bison cukup bersedia untuk menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2020 yang dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 18 September hingga 15 November ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak (Persedar), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, skuad Perak Bison yang memulakan latihan sejak awal bulan lepas, berazam untuk mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut dalam saingan kali ini.

Meskipun mengakui saingan agak mencabar, beliau percaya barisan pemain yang mewakili Perak Bison pada musim ini mampu merealisasikan sasaran tersebut.

"Kita difahamkan sekarang semua pasukan yang bertanding telah membuat persediaan rapi terutama Kuala Lumpur yang akan diperkuatkan dengan apit kanan kebangsaan, Azlan Alias dan bekas tekong kebangsaan, Syahir Rosdi.

"Tetapi itu bukan alasan, kita akan bermati-matian untuk kejohanan kali ini. Ditambah pula barisan pemain sedia ada terdiri muka-muka lama yang membantu kita merangkul kejuaraan sejak 2017 (dalam Divisyen Satu STL)," katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman barisan pemain Perak Bison di sini, hari ini.

Musim lepas, Perak Bison muncul juara STL Premier dengan mengutip 26 mata selepas mencatat 13 kemenangan daripada 18 perlawanan. Perak Bison juga muncul juara pada edisi STL Premier 2018.

Abdul Puhat berkata, secara keseluruhan, barisan pemain bersedia dari segi mental serta fizikal dan tiada sebarang masalah untuk menghadapi kejohanan berkenaan.

Sementara itu, ketua pasukan, Mohamad Firdaus Hamid bertekad mempamerkan persembahan terbaik bagi memastikan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan tercapai.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap rakan sepasukan akan mempamerkan semangat juang tinggi bagi memastikan Perak Bison meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.- Bernama