Muafakat Nasional tunggu surat Bersatu

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Jentera Pemuda BN di Dewan Rajawali Felda Residence, Trolak hari ini.
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Jentera Pemuda BN di Dewan Rajawali Felda Residence, Trolak hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Muafakat Nasional (MN) masih belum mendapat sebarang pengesahan mengenai penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam gabungan itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa MN memang ada menghantar surat rasmi mengundang Bersatu menyertai mereka.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Ya, saya ingin mengesahkan bahawa dalam mesyuarat Muafakat Nasional perkara itu telah diterima sebagai keputusan untuk mengundang Bersatu, namun kita sedang menunggu surat balasan daripada mereka.

"Kita serahkan seluruhnya kepada jawatankuasa Muafakat Nasional untuk memurnikan apa juga kedudukan apabila kini tiga pihak bersama-sama mendukung Muafakat Nasional," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di Dewan Rajawali Felda Residence, Trolak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu rakaman video untuk menyertai MN sebagai gabungan besar kerana mendukung kerajaan Perikatan Nasional.

Hadir sama pada majlis tersebut, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon; Pengerusi BN Perak, Saarani Mohamad dan rakan-rakan komponen Pemuda BN.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menjelaskan, jawatankuasa bersama tersebut telah mengambil jalan terbaik dan berharap usaha tersebut akan memberi keberhasilan yang optimum apabila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

Artikel Berkaitan: