Syarikat teknologi dunia mahu jadikan Malaysia pusat serantau

Muhyiddin pada Sesi Townhall Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.
Muhyiddin pada Sesi Townhall Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, syarikat teknologi global, Microsoft, Amazon dan Google menemui beliau baru-baru ini untuk terlibat memajukan bidang teknologi di Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, syarikat gergasi itu bukan sahaja berhasrat menjadikan Malaysia maju dalam bidang teknologi dan maklumat tetapi sebagai pusat serantau.

Katanya, Malaysia mempunyai kepakaran tetapi masalah utama ialah sambungan dan kelajuan internet yang tidak efisien..

"Ada cerita murid nak belajar (dengan menggunakan internet) tetapi terpaksa panjat pokok untuk mendapatkan sambungan internet dan terpaksa tidur atas pokok.

"Ini menjadi satu cerita yang besar dan merupakan simbolik bahawa (perkhidmatan dan taraf internet di) Malaysia masih belum mencapai tahap seperti yang sepatutnya dan level competitiveness (tahap kebolehsaingan) masih tidak sama dengan negara membangun," katanya.

Beliau berkata demikian semasa dialog dalam Sesi Townhall Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di Hotel Thistle di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengubah situasi dan memperbaiki kelemahan tersebut menerusi keazaman politik termasuk dasar baharu untuk memajukan bidang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, ekonomi negara boleh runtuh jika kerajaan tidak mengambil keputusan membuka semula sektor ekonomi selepas langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Jelasnya, kerajaan terpaksa bertindak segera dalam keadaan koronavirus (Covid-19) masih menular bagi memastikan kilang dan sektor tertentu dapat beroperasi semula termasuk peniaga kecil dapat kembali berniaga.

"(Apa) yang paling saya bimbang ialah mengenai pengangguran yang amat besar. Unjuran pengangguran kini lebih 5 peratus dan jangkaan 800,000 orang (akan menganggur) pada hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata, keputusan dan langkah kerajaan Malaysia dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 merupakan yang terbaik walaupun negara masih tidak mempunyai ubat atau vaksin.

Walaupun tidak mempunyai vaksin, Perdana Menteri berkata, mereka yang sembuh daripada Covid-19 di hospital tinggi dan terbaik di dunia iaitu pada kadar 97 peratus.