'Kami kawan, jamin kempen secara sihat'

Mohd Zaidi
Mohd Zaidi
A
A
A

TANJUNG MALIM - "Kami saling mengenali antara satu sama lain. Pastinya ini satu pertandingan sihat dan kami akan berkempen secara sihat," kata calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz susulan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Mohd Zaidi, 43, yang bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Slim bakal dicabar calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili parti baharu ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seorang lagi calon Bebas ialah S Santharasekaran, 44, yang juga bekas guru dan Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam).

Mohd Zaidi berkata, pihaknya yakin masing-masing mempunyai penyokong dan kekuatan untuk bertanding pada PRK itu.

Mohd Zaidi (kanan) bersama dua calon Bebas, Amir Khusyairi dan Santharasekaran.
Mohd Zaidi (kanan) bersama dua calon Bebas, Amir Khusyairi dan Santharasekaran.

"Kita mengamalkan demokrasi dan sesiapapun boleh bertanding. Saya kenal Khusyairi dan beliau kini bersama Tun M (Mahathir).

"Begitu juga dengan Santharasekaran yang mengajar di sini. Paling penting kami sama-sama menggerakkan kempen secara sihat dan membawa bersama mandat untuk diterangkan kepada pengundi," katanya selepas proses penamaan calon PRK DUN Slim di Dewan Sri Tanjung Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini hari ini.

Beliau berkata, kerjasama bersama Pas dan kompenan BN lain iaitu MCA dan MIC pada ketika ini cukup kuat selain penerimaan baik masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga bersama kami. Mereka menyatakan kesediaan dan kesanggupan bersama dari segi gerak kerja jentera bagi memastikan pengundi keluar pada hari mengundi nanti," katanya.