‘Kalih bagi sama’ kempen politik songsang - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kempen ‘kalih bagi sama’ yang merupakan slogan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) disifatkan sebagai kempen politik songsang.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kempen berkenaan tidak menggambarkan demokrasi selain tidak selari dengan perlembagaan negara.

Menurutnya, adalah menjadi hak rakyat untuk memilih kepimpinan dalam pilihan raya seperti termaktub dalam undang-undang.

“Ada orang sedang adakan kempen supaya ‘kalih bagi sama’. Tujuannya supaya kerajaan negeri dengan peringkat Pusat sama, barulah berlaku keadilan. Ini adalah satu kempen yang songsang.

“Kempen ini songsang kerana hak rakyat untuk memilih dijamin oleh perlembagaan,” katanya di sini pada Rabu.

Menteri Besar Kedah itu mengingatkan agar kempen politik menjelang PRN hendaklah berada dalam landasan dibenarkan dan tidak menyalahi perundangan.

“Rakyat sudah pilih, kerajaan sudah terbentuk (di Kedah) tetapi apabila pemimpin itu dari parti lain, diuarkan sebegitu.

“Undang-undang tidak pernah menyatakan hanya apabila parti di Pusat dan negeri sama, barulah proses keadilan boleh berlaku. Itu di luar batas undang-undang. Jadi tak perlu kempen sehingga tak peduli undang-undang,” jelasnya.

Menurutnya lagi, segala urusan pentadbiran khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mesti berlandaskan kepada undang-undang.

“Perlu adil kepada Kedah biarpun negeri ini ditadbir oleh parti yang tidak sealiran dengan parti pemimpin itu.

“Kempen seperti ‘kalih bagi sama’ barulah ada keadilan atau akan diberikan layanan sama rata, ia bertentangan dengan undang-undang,” ujarnya.

Pada awal Mei lalu, PH dan BN Kedah melancarkan slogan 'kalih bagi sama' sebagai kempen PRN bertujuan untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan sealiran.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah bersama Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar meminta rakyat Kedah memanfaatkan peluang sebaik mungkin dalam PRN yang akan diadakan tidak lama lagi untuk memastikan pentadbiran negeri sealiran dengan Persekutuan.

Katanya, kebersamaan kepimpinan politik di pusat dan negeri kelak memberikan manfaat pembangunan jangka panjang yang diharapkan oleh rakyat selain memudahkan urusan kerajaan dengan kerajaan.