Malaysia konsisten bela isu Palestin

Hishammuddin Hussein - Foto Bernama
Hishammuddin Hussein - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencapai perjanjian damai serta menormalisasikan hubungan dengan Israel sebagai hak kedaulatan negara tersebut.

Bagaimanapun katanya, pendirian Malaysia dalam isu Palestin tetap konsisten dan menentang pelan haram serta unilateral oleh rejim Israel untuk melaksanakan rancangan pengilhakan sebahagian wilayah Palestin yang diduduki di Tebing Barat.

Tegasnya, Malaysia, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel turut mengulangi pendirian sejak sekian lama bahawa pembentukan negara berdaulat Palestin yang bebas melalui penyelesaian dua negara (two-State solution) berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin merupakan satu-satunya penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

"Malaysia akan terus menyokong usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.

"Ia khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak yang berkaitan berdasar undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam satu kenyataan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Putera Mohammed Zayed Al-Nahyan memberitahu, mereka bermesyuarat pada Khamis dan bersetuju memulihkan hubungan antara Israel dan UAE.

Sementara itu, Israel bersetuju 'menghentikan penaklukan di wilayah Palestin' di bawah perjanjian damai dengan UAE yang disaksikan AS, kata Putera Mahkota Abu Dhabi menerusi Twitter semalam.

Artikel Berkaitan: