Tumpu isu kemiskinan kaum Melayu, bukan anjur enam rumah terbuka - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan digesa memberi tumpuan kepada isu kemiskinan kaum Melayu berbanding penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak seharusnya berasa seronok dengan mengadakan majlis rumah terbuka sedangkan masalah kaum Melayu terus terpinggir.

"Kita dapati kerajaan seolah-olah tidak nampak masalah orang Melayu, mereka berseronok, membuat rumah terbuka walaupun mereka berkata tak akan ada acara besar-besaran," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di Bandar Puncak Alam di sini pada Isnin.

Dr Mahathir memberitahu, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, majlis rumah terbuka Aidilfitri hanya diadakan sekali sahaja.

"Kenapa enam? Sebab nak tunjuk kepada rakyat supaya sokong dialah yang beri makan kepada orang ramai," jelas beliau.

Beliau menjelaskan, kebanyakan kaum Melayu di kawasan bandar masih dihimpit isu kemiskinan.

Sehubungan itu, katanya, kaum Melayu sepatutnya sama kaya dengan kaum lain selepas negara mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun.

"Tetapi hakikatnya ialah orang Melayu itu miskin sehingga kadang-kadang tanah milik mereka sekangkang kera mereka jual.

"Apabila kita menjual tanah, kita kehilangan punca pendapatan dan tidak mempunyai harta seterusnya semakin miskin," jelas beliau.