Gubal akta, elak heret negarawan ke kancah politik

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib
A
A
A

ALOR SETAR - Pemimpin berstatus negarawan tidak seharusnya diheret dalam kancah pergelutan politik kerana boleh merosakkan imej serta ketokohan.

Pensyarah Kanan dan Perunding Dasar Politik dan Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berpendapat, kerajaan perlu mengadakan satu ketetapan atau akta khusus berkaitan negarawan bagi mengelakkan mereka terjebak dalam politik sebaliknya menyumbang kepada pembangunan negara.

"Akta Negarawan akan membantu Malaysia menyediakan tokoh dan warga berpengalaman bagi menumpukan kepada aspek bukan parti,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga seorang negarawan mengasaskan dua parti politik sejak tidak lagi bergelar pemimpin nombor satu negara.

Dr Mahathir mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 8 September 2016, namun parti itu berpecah dua selepas 'Langkah Sheraton' yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden, mengetuai majoriti pemimpinnya membentuk Perikatan Nasional (PN).

Dr Mahathir kemudiannya meletakkan jawatan sebagai pengerusi parti sebelum digugurkan keahlian.

Pemimpin itu juga mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dan duduk di bangku pembangkang bersama empat Ahli Parlimen Bersatu lain semasa persidangan Dewan Rakyat, 18 Mei lalu.

Terkini Dr Mahathir bakal menubuhkan parti baharu yang dikenali sebagai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Md Shukri berkata, kita memiliki ramai negarawan yang mempunyai impak besar kepada komuniti namun hanya Dr Mahathir aktif berpolitik.

Antara negarawan lain termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid; bekas hakim negara, bekas mufti, serta bekas ketua polis yang menyumbang besar dalam bidang masing-masing.

“Malaysia terkenal sebagai negara demokrasi yang mempunyai kepelbagaian perjuangan dalam parti politik.

Penubuhan parti itu tidak salah tetapi hasrat dan matlamat berparti itu perlu diteliti secara mendalam supaya tidak membawa kesan kepada ketidakstabilan negara,” katanya.

Menurutnya, orang Melayu harus teliti mencatur sokongan kepada mana-mana parti politik supaya tidak memberi kesan buruk kepada survival keseluruhan.

Md Shukri berharap wujud kumpulan yang boleh berperanan sebagai fasilitator perdamaian yang boleh menggerakkan proses ke arah perdamaian sesama tokoh terutama melibatkan Dr Mahathir.

“Saya andaikan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang layak menjadi perunding pendamaian antara tokoh-tokoh Melayu. Ini kerana Pas kelihatan rapat dengan Dr Mahathir, Bersatu dan UMNO. Jadi peranan Abdul Hadi ini perlu digerakkan,” katanya.