X

Kindly register in order to view this article
!

Bayern congak langkah Messi

Messi (tengah) bakal menjadi taruhan terbaik Barcelona pada pertemuan menentang Bayern di Lisbon awal pagi esok.
A
A

BAYERN Munich mempunyai cara untuk menghentikan kelibat penyerang lincah Barcelona, Lionel Messi dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon awal pagi esok.

Pemain tengah Bayern, Leon Goretzka berkata, The Bavarians sedang mencongak cara paling ampuh untuk mengawal pergerakan pemenang enam kali anugerah Ballon d'Or itu.

"Saya rasa sudah ramai pemain yang cuba menghentikan Messi dalam setiap perlawanan. Sukar untuk memberikan caranya tetapi ia hanya boleh dilakukan secara bersama dan kerjasama semua pemain.

"Messi merupakan pemain yang dilahirkan dengan anugerah yang cukup luar biasa. Kami perlu mengawal ketat pemain seperti Messi jika mahu menghentikan setiap pergerakannya.

"Saya harap kami mampu memastikan ia berhasil dan akan mampu melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini. Ia tidak mudah tetapi kami yakin sudah bersedia sepenuhnya untuk menentang pasukan kuat seperti Barcelona," katanya.

Messi sudah menjaringkan 31 gol dalam semua pertandingan musim ini dan sedang memburu kejuaraan Liga Juara-Juara kali kelima bersama Barcelona. Namun, kelab Catalan itu perlu berhadapan Bayern yang belum tewas dalam 13 perlawanan sejak saingan bola sepak disambung semula akibat Covid -19.

Malah, penggempur utama Bayern, Robert Lewandowski juga berada pada tahap terbaik selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan besar ke atas Chelsea di peringkat 16 pasukan terbaik, sekali gus mengumpul 50 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Pada masa sama, Bayern juga sedang mengejar kejuaraan treble selepas merangkul kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut selain turut menggondol Piala Jerman.

Dalam pada itu, Goretzka turut percaya Bayern berpeluang menewaskan Barcelona berdasarkan format kalah mati yang diperkenalkan dalam edisi Liga Juara-Juara kali ini akibat pandemik Covid-19.

"Untuk tidak bermain di stadium keramat Barcelona merupakan kelegaan kepada kami dan ia akan memberikan peluang kepada kami menang perlawanan ini. Namun, segala-galanya bergantung kepada aksi di atas padang nanti," ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!