X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan komited jayakan agenda bumiputera

Muhyiddin Yassin
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan komited untuk menjayakan agenda bumiputera melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan awal tahun hadapan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, bagi memperkasa pembangunan sosio-ekonomi bumiputera, kerajaan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang dipengerusikannya, selain memutuskan supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menjadi Agensi Penyelaras Utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

“Teraju akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data bumiputera merentas kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Selain itu, bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan bumiputera sebagai bangsa usahawan.

“Budaya keusahawanan ini akan terus dipupuk secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekun Nasional (Tekun) serta agensi-agensi mandat bumiputera,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) mengenai langkah-langkah meningkatkan ekonomi bumiputera khususnya yang semakin ramai menganggur dan hilang kerja tanpa menyalahkan bangsa lain.

Jelas Muhyiddin, bagi suku kedua 2020 kadar pengangguran dalam kalangan bumiputera adalah 5.2 peratus berbanding purata nasional 5.1 peratus manakala insiden kemiskinan dalam kalangan bumiputera pada tahun 2019 adalah 7.2 peratus berbanding kaum Cina 1.4 peratus dan India 4.8 peratus.

Muhyiddin berka, peratusan ekuiti bumiputera yang dicatatkan adalah lebih kurang 16 peratus sahaja dan ia semakin merosot dan membimbangkan berbanding tempoh sebelum ini.

"...sebab itu, yang penting adalah bagaimana usaha yang hendak dibuat kerajaan sekarang dan komitmen kita adalah untuk berusaha lebih dari dahulu," katanya.

Menerusi MKB, Muhyiddin berkata, kerajaan akan meneliti serta memperhalusi sektor yang jauh ketinggalan dalam kalangan bumiputera dan menerusi data lengkap yang dikumpul melalui unit Teraju membolehkan tindakan yang lebih fokus dilakukan.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) tentang usaha kerajaan berkenaan kedudukan pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat tersenarai dan tidak tersenarai serta agensi amanah bumiputera.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai kerjasama ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera bagi meningkatkan penglibatan golongan bumiputera, Muhyiddin berkata beliau akan tumpukan berkaitan hal itu dalam rangka kerja yang sedang dirancang.

“Itu adalah satu usaha yang kita boleh lakukan untuk menggabungkan tenaga dan juga sumber modal daripada bumiputera dan bukan bumiputera secara 'perkongsian tulen', bukan dengan cara ‘Ali Baba’ dan cara-cara yang tidak berapa sesuai dengan dasar kita.

“Ini yang kita akan beri perhatian dan saya akan beri tumpuan dalam rangka kerja yang kita sedang rancang sekarang ini,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!