Pengawal pusat hiburan bunuh rakan berdepan hukuman mati

Tertuduh diiringi polis ke mahkamah pagi tadi.
Tertuduh diiringi polis ke mahkamah pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengawal pusat hiburan berdepan hukuman mati selepas dia didakwa membunuh rakannya pada 29 Julai lalu.

Tertuduh, Christopher Wong Khoon Swan, 36, yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini bagaimanapun tidak memberikan sebarang pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Hokkien, Khoon Swan didakwa menyebabkan kematian ke atas Lau Weng Heng, 43.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Dahlia 3, Taman Dahlia, Butterworth di sini kira-kira jam 5.50 hingga 6 pagi.

Tertuduh yang memakai kemeja-T berwarna biru didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum mati.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Roslina Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 10 September ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh rakannya sendiri dalam kejadian yang berlaku di Taman Dahlia, Mak Mandin di sini.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, mangsa Lau Weng Heng, 43, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Bunga Tanjung Satu di sini selepas membeli sarapan untuk emaknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dirempuh oleh suspek yang menaiki kereta jenis Proton Wira sebelum dia tercampak di atas jalan raya.