13,157 pasangan bercerai dalam tempoh lima tahun

Mohd Nor Hamzah
Mohd Nor Hamzah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan 13,157 kes penceraian membabitkan pasangan Islam dalam tempoh lima tahun sejak tahun 2015 hingga 2019.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, pada tahun 2015 sebanyak 2,682 pasangan dilaporkan bercerai diikuti 2,715 pasangan (2016), 2,758 (2017), 2,553 (2018) dan 2,449 pasangan (2019).

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dibuat, punca utama penceraian adalah disebabkan pasangan tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, punca lain yang dikenalpasti adalah suami isteri lemah didikan agama, berlaku campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, masalah ekonomi, kerjaya dan masalah kesihatan.

“Masalah akhlak dan sosial serta masalah komunikasi turut menjadi faktor berlaku penceraian,” katanya menjawab soalan lisan Ab Razak Ibrahim (Pas-Air Putih) Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini.

Menurut Mohd Nor, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dalam menangani dan menyelesaikan isu penceraian dengan memberi tumpuan kepada tiga golongan sasaran.

Beliau berkata, tiga kategori sasaran itu adalah pasangan yang belum berkahwin, pasangan sudah berkahwin dan pasangan yang mempunyai konflik dalam perkahwinan.

Katanya, kumpulan itu diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Artikel Berkaitan:

“Antara program dilakukan adalah kursus pra perkahwinan, pra perkahwinan Islam, seminar kekeluargaan, kursus kepada pasangan yang berkahwin lebih lima tahun dan khidmat nasihat cara keluarga Islam bagi membantu masalah rumahtangga,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di luar dewan, Mohd Nor yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong memaklumkan seramai 181 pasangan di negeri ini bercerai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sepanjang tempoh itu juga katanya, Bahagian Undang-Undang keluarga bagi Pernikahan dan Penceraian turut merekodkan 2,409 pernikahan berlangsung di seluruh negeri ini sejak PKP bermula 18 Mac lalu.