Real Madrid kena cari penyelesaian segera isu Bale

Bale
Bale
A
A
A

BEKAS Presiden Real Madrid, Ramon Calderon percaya adalah penting untuk pengurusan Los Blancos berbincang dengan Gareth Bale untuk menentukan masa depan pemain itu sebelum bermulanya musim depan.

Penyerang Wales itu semakin diasingkan dari kesebelasan skuad kendalian Zinedine Zidane sejak saingan La Liga bersambung Jun lalu apabila sekadar hanya membuat satu penampilan bersama Los Blancos walaupun cergas sepenuhnya.

"Ini adalah situasi yang sangat menyedihkan dan paling tersangat menyedihkan adalah apabila melihat pemain berkualiti seperti Bale berada di bangku simpanan.

“Sebenarnya bakat dan kemahiran Bale tidak pernah meninggalkannya kerana dia pemain yang boleh bermain untuk mana-mana kelab lain di dunia.

"Satu penyelesaian perlu dicapai untuk mengakhiri penderitaan kedua-dua belah pihak. Sekiranya dia tidak mahu mengurangkan gajinya, itu dapat difahami namun penyelesaian cara lain perlu segera dimuktamadkan demi kebaikan Real Madrid dan Bale," kata Calderon.

Zidane sebelum ini mengesahkan bekas pemain Tottenham Hotspur itu diminta untuk dikeluarkan dari skuad ketika pertembungan Liga Juara-Juara minggu lalu di Manchester City, yang sekali gus menyaksikan Los Blancos berputih mata pada perlawanan itu.

Biarpun begitu pemain berusia 31 tahun itu dilaporkan mahu kekal di Santiago Bernabeu sehingga kontraknya berakhir pada 2022.

Pada musim ini Bale baru mengharungi 12 perlawanan La Liga, walaupun tanpa terpalit kecederaan jangka panjang sejak 2018.

Artikel Berkaitan:

Namun Zidane secara konsisten memilih untuk tidak menggunakan khidmat Bale sepanjang kempen Los Blancos memburu kejuaraan La Liga musim ini.

Media melaporkan sebelum ini perpindahannya ke kelab Liga Super China Jiangsu Suning musim panas lalu dilaporkan tidak kesampaian pada saat-saat terakhir ketika Real Madrid meminta bayaran perpindahan sekali gus menyebabkan pilihan untuk Bale keluar dari Kota Madrid kini kelihatan cukup amat terbatas.