Real Madrid fail aduan insiden perkauman ke atas Vinicus

Vinicus. - Foto Agensi
Vinicus. - Foto Agensi
A
A
A

KELAB Real Madrid menyifatkan ejekan perkauman yang ditujukan kepada Vinicus Junior merupakan satu 'jenayah kebencian' dan telah membuat laporan kepada Pejabat Peguam Negara Sepanyol.

Vinicus menganggap perkara itu sebagai 'episod berterusan yang merebak ke beberapa bandar di Sepanyol' selepas dia sekali lagi menjadi mangsa ejekan perkauman sewaktu Madrid tewas 0-1 kepada Valencia dalam aksi La Liga di laman lawan hujung minggu lalu.

Menurutnya, polis telah mengenal pasti penonton yang melakukan serangan perkauman itu dan individu terbabit berdepan penggantungan seumur hidup daripada menghadiri perlawanan di Stadium Mestalla.

“Setiap perlawanan di laman lawan memberikan kejutan yang tidak menyenangkan. Ia kerap berlaku musim ini. Ugutan bunuh, patung yang digantung dan jeritan bagaikan penjenayah, semuanya ada.

“Namun ia dikatakan kes terpencil dilakukan oleh seorang penyokong. Ini bukan kes terpencil. Mereka meneruskan episod ini dengan menyebarkan ke bandar-bandar sekitar Sepanyol (termasuk dalam program televisyen),” kata Vinicius dalam satu ciapan pada Isnin.

Madrid dalam satu kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya insiden yang menimpa Vinicius itu.

“Perkara ini merupakan satu serangan langsung ke atas model kewujudan bersama dan undang-undang sosial serta demokrasi kita.

“Ia sebagai satu jenayah kebencian. Kami telah memfailkan aduan ke pejabat peguam negara, khususnya pejabat pendakwa raya, terhadap jenayah kebencian dan diskriminasi ini supaya perkara ini dapat disiasat dengan penuh tanggungjawab,” katanya.