Cadang BN pilih Ketua Pemuda UMNO Tanjung Malim

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan kepada pimpinan tertinggi parti itu supaya Ketua Pemuda Tanjung Malim, Mohd Amin Othman dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bagaimanapun pihaknya akur dengan apa jua keputusan pimpinan tertinggi parti untuk menentukan calon yang sesuai.

Katanya, cadangan calon daripada kalangan orang muda itu mengambil kira apa yang dilakukan pada PRK Chini baru-baru ini.

“Kami telah mencadangkan Amin yang juga Exco Pergerakan sebagai calon daripada Pemuda UMNO kepada pimpinan tertinggi. Kami telah memberi cadangan sama seperti di PRK Chini agar anak muda dipilih sebagai calon,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan sayap UMNO itu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calon mereka Rabu ini (12 Ogos) untuk mempertahankan kerusi DUN Slim.

Menyentuh mengenai persiapan bagi menghadapi PRK itu, Asyraf memberitahu, pihaknya mengerakkan jentera PRK DUN Slim yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Perak, Ariff Majid.

"Kami meletakkan semua Ketua Pemuda Bahagian di negeri itu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai 'bahagian angkat'.

“Fokus kami adalah untuk menarik keluar anak muda di PDM selain anak muda yang berada di luar kawasan untuk balik mengundi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Asyraf berkata, pihaknya akan mengadakan dan menggerakkan latihan pilihan raya sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pada bila-bila masa ekoran kedudukan kerajaan ketika ini yang rapuh.

Malah menurutnya, pimpinan tertinggi juga sudah meminta pihaknya bersiap siaga.

"Sebagai persediaan PRU, kita cadangkan BN dijadikan parti tunjang atau lambang BN digunakan oleh gabungan parti komponen Muafakat Nasional.

"Ia kerana kami rasakan lambang BN masih kuat dan kita nafikan kalau ada orang kata bahawa lambang ini tak laku," katanya.