Bersatu Selangor nafi ada bahagian terbubar

Abdul Rashid
Abdul Rashid
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor menafikan dakwaan mengenai pembubaran beberapa bahagiannya di negeri ini.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, dakwaan mengenai beberapa bahagian yang lumpuh disifatkan tidak berasas sama sekali.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan ada bahagian yang lumpuh atau terbubar. Ia tidak benar sama sekali dan tidak lebih sekadar dakwaan politik yang tidak berasas.

"Bersatu Selangor juga kecewa dengan tindakan beberapa ahli yang keluar parti tetapi kami menerimanya dengan hati terbuka kerana menghormati amalan politik tanah air yang berpaksikan demokrasi berparlimen," katanya pada sidang media di pejabatnya di Plaza Masalam di sini hari ini.

Menurutnya, isu berkaitan pembubaran bahagian tidak berlaku.

"Tindakan ahli jawatankuasa bahagian dan ahli yang keluar akan mengakibatkan terbubarnya ahli jawatankuasa bahagian itu sendiri.

"Dalam perlembagaan Bersatu, fasal 19.10 menyebut jika semua ahli jawatankuasa bahagian berhenti dengan serentak maka Majlis Pimpinan Tertinggi akan mengadakan persidangan khas bahagian untuk menubuhkan semula jawatankuasa bahagian dan menentukan tempoh perkhidmatannya," katanya.

Menurutnya, berkaitan isu pembubaran, parti boleh dibubarkan dengan sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga per empat ahli daripada jumlah ahli yang layak hadir dalam suatu persidangan perhimpunan agung khas.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini hanya boleh dilakukan setelah notis 14 hari diberikan oleh Setiausaha Bahagian bagi mengadakan persidangan khas tersebut," katanya.

Jelasnya, Bersatu Selangor akan meneliti perkembangan semasa di bahagian membabitkan ketua bahagian yang keluar parti.

"Tindakan akan diambil selaras dengan perlembagaan parti bagi memastikan ahli di bahagian tersebut tidak terus dianiaya dengan sikap dan tindakan ketua bahagian sebelum ini," katanya.

Bersatu Selangor mempunyai 54,000 ahli dan jumlah keseluruhan ahli Bersatu Malaysia melebihi 427,000 orang.

Terdahulu, beberapa Bersatu bahagian di negeri ini didakwa terbubar apabila sebahagian besar ahli mengambil keputusan keluar parti sejak kelmarin.