Tuduhan tidak berasas, bermotif politik: Guan Eng

Guan Eng (tengah) bersama pimpinan DAP dan barisan peguamnya pada sidang akhbar yang diadakan selepas selesai proses pendakwaan di Mahkamah Butterworth pagi tadi.
Guan Eng (tengah) bersama pimpinan DAP dan barisan peguamnya pada sidang akhbar yang diadakan selepas selesai proses pendakwaan di Mahkamah Butterworth pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Lim Guan Eng sekali lagi menegaskan pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya adalah tidak berasas dan bermotifkan politik.

Guan Eng berkata, dalam pertuduhan yang dikenakan pada Jumaat lalu, beliau didakwa meminta keuntungan 10 peratus keuntungan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang tanpa menyatakan jumlah yang khusus.

Bagaimanapun hari ini, beliau didakwa menerima RM3.3 juta tanpa dapat membuktikan di mana wang berkenaan.

"Ini jelas adalah satu tuduhan tidak berasas dan saya rasa ia bermotifkan politik kerana saya tidak terima wang tersebut dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah tunjuk bukti yang mereka kesan wang ini dalam akaun bank saya atau ada kesan wang tunai sebanyak RM3.3 juta dimiliki oleh saya.

"Ini tidak pernah ditanya oleh SPRM selama siasatan dijalankan dan sekiranya tiada wang ini dalam milikan saya, jadi di mana ada kes rasuah?" katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmatnya di Butterworth selepas prosiding pendakwaan terhadapnya berlangsung di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini.

Hadir sama, Penasihat DAP Lim Kit Siang, peguam Gobind Sing Deo dan barisan kepimpinan DAP negeri.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, oleh itu beliau akan membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah.

Hari ini, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth terhadap pertuduhan meminta suapan berjumlah RM 3. 3 juta berhubung Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Guan Eng didakwa bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta sama.

Pada Jumaat lalu, Guan Eng telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu syarikat sama dilantik untuk melaksanakan projek serupa dan beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin DAP bersolidariti, sedia lawan untuk Guan Eng

Kes terowong: SPRM sahkan Lim Guan Eng didakwa esok