Jakim rangka kaedah sesuai ganti ujian UPKK

Jakim sedang merangka kaedah baharu bagi menggantikan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) subjek bertulis yang dibatalkan akibat Covid -19.
Jakim sedang merangka kaedah baharu bagi menggantikan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) subjek bertulis yang dibatalkan akibat Covid -19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka kaedah baharu bagi menggantikan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) subjek bertulis yang dibatalkan akibat penularan pandemik Covid -19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kaedah yang dilaksanakan nanti perlu sesuai dalam situasi negara masih lagi belum bebas daripada pandemik maut itu.

"Kami sedang merangka kaedah yang paling sesuai bagi penilaian murid yang terlibat dan akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang mahu tahu adakah kementerian melakukan perbincangan dengan pemegang taruh sekolah agama bagi menggantikan ujian penilaian UPKK yang dibatalkan bagi memastikan penilaian ujian itu tidak terganggu.

Pada 17 April, Jakim membuat keputusan membatalkan pelaksanaan UPKK bagi subjek bertulis yang dijadual pada 28 September hingga 1 Oktober.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) mengenai perkembangan Majlis Tahfiz Negara (MTN), Ahmad Marzuk berkata, kerajaan sedang giat membangunkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi menggerakkan MTN.

“Ia termasuk terma dan rujukan standard MTN, standard dan SOP penarafan hufaz, standard penarafan institusi tahfiz peringkat rendah dan tinggi iaitu bagi menjamin tahap keselamatan dan menaik taraf aspek pensijilan tahfiz," katanya.

Beliau berkata, pelancaran SOP itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu menjawab soalan asal Mujahid mengenai peruntukan kepada sekolah agama, tahfiz dan pondok secara perbandingan pada tahun 2017, 2018, 2019 dan 2020, Ahmad Marzuk berkata, pada tahun 2017 peruntukan khas sebanyak RM80 juta iaitu institusi sekolah pondok sebanyak RM50 juta dan tahfiz pula RM30 juta.

"Pada 2018 sebanyak RM75 juta diperuntukkan (pondok RM50 juta) dan tahfiz RM25 juta, 2019 sebanyak RM100 juta iaitu RM25 juta sekolah pondok, RM50 juta kepada sekolah tahfiz dan RM25 juta sekolah agama," katanya.

Beliau berkata, Bajet 2020 pula meluluskan peruntukan khas sebanyak RM100 juta iaitu RM25 juta kepada sekolah pondok, RM50 juta kepada sekolah tahfiz dan RM25 juta kepada sekolah agama. - Bernama