Lukashenko menang pilihan raya Presiden Belarus

Alexander Lukashenko mengundi di sebuah pusat pengundian dalam pilihan raya presiden di Minsk pada 9 Ogos lalu. - Foto AFP
Alexander Lukashenko mengundi di sebuah pusat pengundian dalam pilihan raya presiden di Minsk pada 9 Ogos lalu. - Foto AFP
A
A
A

MINSK - Ahli politik yang sudah memimpin Belarus selama kira-kira 26 tahun, Alexander Lukashenko memenangi pilihan raya presiden dengan memperoleh 79.7 peratus undi, menurut pengiraan rasmi semalam.

Berdasarkan keputusan pengiraan yang disiarkan stesen penyiaran MIR, pencabar utamanya, Svetlana Tikhanovskaya menduduki tempat kedua dengan memperoleh 6.8 peratus.

Dia merupakan seorang guru bahasa Inggeris yang terlatih berusia 37 tahun dan seorang suri rumah serta ibu kepada dua orang anak mengejutkan kem pembangkang apabila bertindak menentang Lukashenko dalam pilihan raya tersebut.

Tikhanovskaya bertindak mencabar ahli politik yang menjadi presiden sejak 1994 itu selepas suaminya yang merupakan seorang blogger popular dipenjarakan dan dilarang daripada bertanding dalam pilihan raya presiden.

Puluhan ribu penyokong menghadiri perhimpunan kempen politiknya dan ramai pengundi memakai gelang berwarna putih sebagai tanda sokongan ke atasnya di pusat-pusat pengundian semalam.

Namun, ribuan penunjuk perasaan berhimpun di jalanan selepas keputusan pilihan raya tersebut dan sebahagiannya bertempur dengan ratusan anggota polis dengan para penentang Lukashenko mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya tersebut.

"Saya menghadiri protes ini kerana negara ini memerlukan perubahan kuasa," kata seorang penunjuk perasaan dari Mink yang hanya mahu dikenali sebagai Alexander.

Seorang bekas Duta Britain ke Belarus, Nigel Gould-Davies mendakwa, tidak ada keraguan lagi bahawa keputusan pilihan raya itu dipalsukan.

Artikel Berkaitan:

Selepas beberapa jam berlaku ketidaktenteraman, agensi berita Belta melaporkan Kementerian Dalam Negeri sebagai berkata, polis kini berjaya mengawal keadaan.

Lukashenko berjaya menjadi presiden negara itu bagi penggal keenam.

Rakaman video di media sosial menunjukkan meriam air dan peluru getah digunakan untuk menyuraikan para penunjuk perasaan. - AFP