Vokey raih 500,000 bintang sebulan

Vokey atau nama sebenarnya Muhammad Imran Rosli memulakan kerjaya sebagai seorang streamer sepenuh masa selepas menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang pada 2019.
Vokey atau nama sebenarnya Muhammad Imran Rosli memulakan kerjaya sebagai seorang streamer sepenuh masa selepas menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang pada 2019.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] “Nak jadi apa kalau 24 jam mengadap game!”

Itu leteran si ibu pada sang anak yang biasa didengari sewaktu zaman ketiadaan teknologi seperti internet sekitar 20 atau 30 tahun dahulu.

Pada hari ini, situasi itu sudah berbeza apabila sukan e-sport boleh menjadi satu sumber pendapatan.

Sebagai contoh, figura terkenal Mohd Fariz Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz atau Maharaja Soloz dalam kalangan komuniti dan peminatnya, beliau pernah memenangi Anugerah Pencipta Kandungan Facebook yang paling banyak ditonton pada bulan Julai 2019.

Malah beliau yang memiliki 1.6 juta pengikut di Facebooknya turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records kerana menjadi satu-satunya atlet e-sport yang mempunyai jumlah pengikut tertinggi.

Itu adalah sedikit kisah berkenaan dengan Soloz yang berjaya dalam bidang yang diceburinya selain kisahnya membeli kereta mewah Mustang dengan hanya berselipar menjadi tular tahun lalu.

Bagi Muhammad Imran Rosli, 20, atau dikenali sebagai Vokey pula, beliau memasang impian untuk berjaya sebagai seorang streamer sebaris dengan nama streamer yang popular sama ada di dalam dan luar negara.

Aksi Vokey ketika membuat lintas langsung bermain PUBG di halaman Facebook miliknya.
Aksi Vokey ketika membuat lintas langsung bermain PUBG di halaman Facebook miliknya.

Artikel Berkaitan:

Memilih kerjaya sebagai seorang streamer bagi permainan bercorak tempur dan taktikal, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), bekas pelajar Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang itu kini meraih pendapatan purata sebanyak RM20,000 sebulan sejak menceburi bidang itu secara serius pada bulan Ogos 2019.

Streamer meraih pendapatan melalui jumlah bintang yang diterima setiap bulan dengan satu bintang bersamaan dengan 4 sen.

Vokey yang merupakan anak jadi Pekan, Pahang menjelaskan, beliau memulakan kerjaya dalam bidang itu selepas menamatkan pengajian matrikulasi pada usia 18 tahun.

“Mula-mula dulu saya tengok live stream orang lain. Saya bagi bintang kepada mereka. Waktu itu saya rasa saya ada bakat untuk PUBG, jadi saya cuba dalam bidang itu. Bila cuba, ada rezeki datang apabila saya mendapat RM100 hingga RM300.

“Waktu stream pula, saya buat selepas waktu kerja sebagai pembantu kedai di Pekan. Siang saya di kedai, malam pula saya stream di restoran makanan segera ditemani rakan-rakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Melihat masa depan yang cerah dalam dunia streamer, Vokey tidak menoleh ke belakang dan terus berusaha untuk meningkatkan diri dan selepas tujuh bulan ‘berperang’, beliau meraih purata 500,000 bintang setiap bulan sehingga ke hari ini.

Namun, pada usia muda meraih pendapatan yang tinggi setiap bulan tidak menjadikan Vokey seorang yang gelap mata sebaliknya wang yang diraihnya digunakan sebaik mungkin bagi memberi keselesaan buat ibu dan bapanya.“Perkara pertama yang saya lakukan adalah melangsaikan segala hutang ibu dan ayah. Saya juga ada menghadiahkan ibu sebuah beg tangan berjenama Gucci.

“Baki duit yang lebih itu kita guna untuk beli kelengkapan kerjaya. Saya juga dalam proses membelikan mereka sebuah kereta Honda Civic,” katanya.