‘Jangan tamak, kedekut kerusi’

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak boleh ada pihak yang bersifat tamak atau kedekut dalam pembahagian kerusi Muafakat Nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan ia adalah formula utama untuk menjamin kemenangan.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, asas utama ialah tolak ansur dan toleransi dalam perbincangan untuk menentukan pembahagian kerusi atau masalah tersebut tidak akan dapat diselesaikan dengan baik.

“Pas dan UMNO telah menubuhkan jawatankuasa perundingan pembahagian kerusi yang dianggotai lima orang bagi setiap parti untuk duduk berbincang mengenainya.

“Jadi saya tengok sebenarnya pengagihan kerusi pilihan raya boleh diselesaikan. Cuma saya sentiasa ingatkan apabila kita berunding, yang minta jangan tamak, yang ada (kerusi lebih) jangan kedekut.

“Kita kena guna formula sebegitu. Kita jangan kedekut sangat hendak bagi (kerusi) pada kawan dan kawan seorang lagi kalau minta jangan tamak sangat.

“Jadi kena ada tolak ansur di situ. Asas pembahagian kerusi adalah tolak ansur. Kalau tiada tolak ansur dan perbincangan tidak kena kehendak salah satu pihak, isu itu tidak akan selesai.

“Jadi toleransi mesti ada. Jawatankuasa yang ditubuhkan itu akan berbincang dahulu dan kita ambil kaedah pergi kepada kerusi mudah dirunding untuk diselesaikan,” katanya.Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad yang dikendalikan oleh Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Ahad, Junhairi Alyasa dan wartawan, Khairil Anwar Mohd Amin di Parlimen baru-baru ini.

Berdasarkan PRU15 yang lalu, Pas mempunyai seramai 18 orang ahli Parlimen sementara UMNO pula seramai 39 ahli Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, perkara kedua yang perlu diselesaikan oleh jawatankuasa tersebut ialah pembahagian kerusi di kawasan yang bertindih.

“Yang ketiga, mungkin perlu ‘swap’ kerusi, maka buatlah pertukaran kerusi, tetapi akhirnya tidak banyak kerusi yang memerlukan parti membuat ketegasan (untuk memilih calon). Dalam Pas, bab-bab ini kami tiada masalah sangat,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian yang berusia 60 tahun itu, walaupun Pas ingin mendapatkan lebih banyak kerusi untuk bertanding pada pilihan raya yang akan datang namun parti itu masih boleh berkompromi.

“Kita bertanding banyak, cuma yang kita menang (kerusi Parlimen) 18. Jadi Pas pastinya mahu lebih banyak kerusi. Jarang parti bertanding hendak dikurangkan jumlah kerusi bertanding. Cuma kita kompromi,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Pas mahu menguasai kerusi di Pantai Timur, Tuan Ibrahim berkata, perkara itu tidak benar kerana masih belum ada perbincangan mengenai pembahagian kerusi di sana.

“Berkenaan maklumat tular di media sosial berkenaan dakwaan Bersatu minta 50 kerusi untuk bertanding pilihan raya dan Pas mahu menguasai kerusi Pantai Timur, itu tidak betul. Bahkan untuk maklumat, ketiga-tiga parti belum duduk bermesyuarat bersama pun lagi.

“Kenyataan Menteri Besar Terengganu sebelum ini pun hanya pandangan di peringkat negeri, bukan di peringkat jawatankuasa Pusat. Sebenarnya apa yang diberitahu beliau adalah perkara asas,” jelas beliau.

Mengenai persediaan Pas untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau menjelaskan perkara itu akan dibincangkan dengan Muafakat Nasional terlebih dahulu.

“Pas Sabah akan bertanding dan kita akan bincang di peringkat Muafakat Nasional. Dahulu Pas ada bertanding sebanyak 17 kerusi DUN, tetapi kali ini mungkin tidak sebanyak itu.

“Perbincangan di peringkat Muafakat Nasional penting sebab UMNO berada di Sabah, Pas pun ada, Bersatu pun ada. Jadi kita akan runding dahulu, selepas itu baru dibincangkan dengan Bersatu,” katanya.