X

Kindly register in order to view this article
!

Anak jadikan Abd Jalil mentor kewartawanan

Mohd Haikal (kanan) bersama Allahyarham Abd Jalil dan ahli keluarga lain bergambar kenangan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri dua tahun lalu.
A
A

SHAH ALAM - Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali disifatkan seorang bapa yang penyayang dan suka berjenaka.

Menurut anak ketiganya, Mohd Haikal Abd Jalil, 31, disebabkan sikapnya itu Allahyarham sangat disenangi ramai.

Mohd Haikal berkata, beliau secara peribadi turut menjadikan Allahyarham bapanya itu sebagai mentor dalam bidang kewartawanan yang pernah diceburinya sebelum ini.

"Saya pandang arwah sebagai mentor sebab dia wartawan, saya pun wartawan. Saya belajar pun wartawan, banyak benda saya belajar daripada dia, dengan ketegasan dan tanggungjawab sebagai wartawan.

"Semua saya belajar daripada arwah, benda yang tidak boleh diajar di universitilah dia ajar saya, (jadi) saya membesar ikut jejak langkah dia," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, meskipun lebih dua tahun meninggalkan bidang kewartawanan selepas mendapat tawaran berkhidmat di Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, namun gelaran wartawan tetap sebati dalam dirinya.

Ditanya sama ada Allahyarham menunjukkan sebarang petanda sebelum pemergiannya awal pagi tadi, Mohd Haikal berkata, tiada sebarang kelakuan atau petanda pelik ditunjukkan oleh Allahyarham bapanya itu.

"Bagi saya, saya tidak nampak apa-apa yang pelik, cuma arwah tidak sihat sahajalah," katanya.

Katanya, keadaan Allahyarham bapanya sedikit merosot selepas membuat pemindahan darah akibat penyakit buah pinggang yang dihidapinya kira-kira sebulan lalu.

"Semasa berada dalam wad keadaan arwah baik-baik sahaja, cuma bila dah bawak balik rumah ini dia macam nampak tidak sihat, berjalan pun tidak kuat," katanya.

Beliau berkata, meskipun agak terkejut dengan pemergian bapanya secara tiba-tiba itu namun beliau tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

"Boleh dikatakan arwah sudah capai semua yang diimpikan olehnya selama ini. Jadi saya agak puas hatilah (walaupun sedih dengan pemergian arwah)," katanya.

Terdahulu, Mohd Haikal dalam Facebooknya turut mengesahkan bahawa bapanya meninggal dunia pada jam 6.32 pagi ini.

Abd Jalil, 66, berpengalaman lebih 47 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.

Abd Jalil juga ialah Profesor Adjung di Fakulti Kemanusian, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!