Ahli politik Malaysia tidak kebal

Sesiapa juga yang melakukan kesalahan akan dihukum di bawah undang-undang Malaysia.
Sesiapa juga yang melakukan kesalahan akan dihukum di bawah undang-undang Malaysia.
A
A
A

PENTAS politik Malaysia menyaksikan banyak kisah jatuh bangun figura ahli politik. Isu-isu melibatkan mereka sering menjadi tumpuan ramai.

Selain kontroversi yang menjadi asam garam dan lumrah dunia politik, kuasa dan pengaruh yang dimiliki mereka juga adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng.

Sebagai figura berpengaruh, kata-kata dan tindakan ahli politik menjadi ikutan ramai, namun ini tidak bermakna mereka kalis daripada melakukan kesalahan dan lebih buruk lagi, melanggar undang-undang.

Di Malaysia, telah terbukti sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang pasti akan menanggung akibatnya termasuklah ahli politik. Contoh terdekat, baru-baru ini, buat pertama kalinya dalam sejarah negara, seorang bekas perdana menteri didapati bersalah di mahkamah.

Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai lalu namun masih terdapat proses rayuan yang boleh dilaksanakan.

Semalam pula, bekas Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Kedua-dua kes terbabit membuktikan ahli politik tidak memiliki kekebalan.

Menurut penganalisis politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, seperti rakyat biasa, ahli politik perlu berdepan dengan hukuman sekiranya terbukti melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Idea tentang kekebalan ahli politik merupakan persepsi rakyat yang melihat terdapatnya undang-undang atau ruang teknikal yang membolehkan golongan tersebut terlepas daripada pertuduhan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohd Azizuddin
Mohd Azizuddin

Beliau yang juga Pensyarah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, realitinya semua pihak harus patuh kepada undang-undang dan tidak akan terlepas daripada hukuman sekiranya bersalah.

“Rakyat negara ini semakin cerdik kerana terdedah kepada isu semasa negara menerusi internet. Susulan kesedaran ini, rakyat mahukan pemimpin dipilih mempunyai sikap kebertanggungjawaban dan telus kepada mereka,” katanya lagi.

Tambah Mohd Azizuddin, rakyat kini berani menyuarakan pandangan secara terbuka sekiranya terdapat isu-isu seperti salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya yang menjejaskan kepentingan mereka.

“Pemimpin dan ahli politik kini bukan seperti pemimpin feudal zaman dahulu yang bebas menekan rakyat. Pada zaman sekarang rakyat akan menilai buruk baik kata-kata yang disampaikan ahli politik,” katanya sambil menambah sebarang pelaksanaan dasar haruslah memberi kepentingan kepada rakyat.

Semak dan imbang

Ditanya sama ada ahli politik terutama pembangkang semakin mendapat tempat dan memiliki suara yang lebih besar susulan kemajuan media sosial, Mohd Azizuddin berkata, kewujudan pembangkang yang kuat perlu bagi semak dan imbang dalam demokrasi.

“Di negara kita, pembangkang agak kuat malah pernah menjadi kerajaan sebelum ini. Pengalaman tersebut dilihat dapat membantu dalam semak dan imbang kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, budayawan, peguam dan ahli politik veteran, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, dari sudut kebebasan proses undang-undang, pendakwaan melibatkan ahli politik merupakan perkembangan progresif yang selari dengan konsep keluhuran undang-undang.

“Barang siapa salah guna kuasa atau menjalani proses korupsi atau rasuah, harus bersedia untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” tegas beliau kepada Sinar Harian.

Rais Yatim
Rais Yatim

Katanya, pada satu masa dahulu, ada tanggapan mengatakan bahawa jawatan tinggi dapat dijadikan perisai daripada pendakwaan namun sekarang ia hanya menjadi fiksyen.

“Dahulu di negara kita, terdapat kes menghadapkan mereka yang berjawatan tinggi berhubung dengan rasuah, pembunuhan atau penipuan. Misalnya seperti kes Datuk Harun Idris pada tahun 1970an dan awal 1980an.

“Terdapat banyak lagi kes, cuma ini kali pertama bekas perdana menteri diheret ke mahkamah. Ini membuktikan trend menghadapkan mereka yang berbaur korupsi atau rasuah sudah bermula dengan langkah-langkah jelas dan ia harus berterusan,” kata beliau.

Sementara itu, Pensyarah Undang-undang dan Perlembagaan, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar menjelaskan, dari perspektif Perlembagaan dan undang-undang, tiada kekebalan kerana dalam negara yang mengamalkan Rule of Law and sistem demokrasi, semua orang termasuklah ahli politik wajib patuh kepada undang-undang.

Menurutnya, golongan yang memiliki ‘kekebalan’ atau lebih tepat lagi ‘keistimewaan’ ialah ahli Parlimen, itu pun sekadar perlindungan imuniti dalam Dewan Rakyat.

Khairil Azmin
Khairil Azmin

“Perkara 63 mengenai ‘Keistimewaan Parlimen’ menyatakan dalam (1) bahawa ‘Kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah’.

“Imuniti atau kekebalan diberikan dalam (2) di mana dinyatakan bahawa ‘tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya’.

“Inilah satu-satu kekebalan yang diberikan bagi tujuan memelihara kebebasan Parlimen sebagai salah satu daripada tiga organ utama dalam Doktrin Perasingan Kuasa,” katanya.