X

Kindly register in order to view this article
!

Penjenayah pura-pura cari rumah sewa

Gambar suspek yang tular di Facebook sejak semalam.
A
A

KUALA SELANGOR - Pasangan suami isteri warga emas kerugian wang tunai berjumlah RM1,600 dan dokumen penting lain selepas rumah mereka di Batu 20 Jeram di sini dipecah masuk penjenayah pagi semalam.

Anak mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian pada jam 9 pagi itu berlaku selepas dua lelaki tidak dikenali datang ke rumah bapanya kononnya ingin mencari rumah sewa.

Menurutnya, ibunya, Embut Mohd Kasim, 69, yang juga pemilik rumah sewa membawa dua lelaki terbabit ke rumah sewa yang berada di belakang rumah, sementara bapanya, Jamaludin Alias, 73, berada dalam rumah.

"Semasa berbincang hal sewa rumah, salah seorang daripada lelaki yang memakai beg sandang beritahu mahu ke tandas.

"Ibu membenarkan lelaki tersebut pergi ke tandas dan selang beberapa minit lelaki tersebut keluar tandas luar rumah dan mengajak kawannya untuk beredar dari rumah sewa tersebut dan akan hubungi semula sekiranya setuju untuk menyewa," katanya.

Katanya, kejadian hanya disedari ibunya apabila menemui gunting kain ketika menyiram pokok bunga di laman rumah mereka.

"Sejurus masuk ke dalam rumah, ibu terkejut apabila mendapati bilik berselerak dan pemeriksaan mendapati beg digantungkan di tepi almari telah dialihkan ke atas mesin basuh.

"Selepas itu, ibu masuk ke dalam bilik mendapati beg sandang milik ayah warna hitam mengandungi wang tunai RM1,200 dan dokumen bank serta beg sandang ibu mengandungi wang tunai RM400 dan dokumen penting hilang," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mendapati kegiatan itu dilakukan suspek terbabit.

"Kami telah membuat laporan di Balai Polis Jeram pada jam 10 pagi semalam," katanya.

Terdahulu, gambar suspek yang dipercayai memecah masuk rumah yang dirakam CCTV mulai tular di Facebook sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, menerusi rakaman CCTV yang diperoleh, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu dan usaha mengesan suspek diteruskan.

"Saya berpesan kepada semua masyarakat terutamanya suri rumah apabila ada orang yang tidak dikenali datang ke rumah atau bertanya sesuatu sila ambil perhatian dan jangan mudah percaya terutama sekali untuk minta masuk ke dalam rumah.

"Pelbagai cara helah diguna oleh penjenayah untuk memecah masuk rumah dan sebolehnya dapatkan maklumat berkaitan nombor kenderaan yang digunakan, ambil gambar orang tersebut menggunakan telefon bimbit bagi membantu pihak polis dalam siasatan jika berlaku sebarang jenayah," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun keseksaan kerana curi dalam bangunan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!