Isteri sambung reman, suami diburu

Thiew Hock Poh
Thiew Hock Poh
A
A
A

SEREMBAN - Wanita yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di sebuah restoran di Taman Permai 3, di sini, sehingga menyebabkan seorang pemilik restoran mati ditikam Sabtu lalu, disambung reman dua hari lagi.

Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, permohonan menyambung reman wanita berusia 38 tahun itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

"Polis buat permohonan sambung reman di mahkamah selepas tempoh reman selama empat hari sebelum ini tamat.

"Reman disambung bermula hari ini (semalam) dan esok (hari ini)," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis masih memburu suami wanita berkenaan.

"Suaminya merupakan lelaki warga Pakistan dikenali sebagai Mohd Javaid Arshad Abdul Ghani berusia 54 tahun yang melarikan diri selepas kejadian," katanya.

Terdahulu, media melaporkan wanita berkenaan yang juga peniaga kedai runcit ditahan untuk siasatan lanjut sehingga membawa kepada penahanan suspek kedua iaitu lelaki warga Pakistan berusia 44 tahun di sebuah kilang di Taman Perindustrian Oakland, di sini, jam 8.50 malam, Isnin lalu.

Dalam kejadian 1.30 pagi Sabtu lalu, mangsa D Shaleni, 31, parah ditikam di perut sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, 13 jam kemudian.

Artikel Berkaitan:

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham turut menyebabkan suami mangsa berusia 48 tahun dan lelaki warga emas berusia 60 tahun cedera dan menerima rawatan di hospital sama.

Ia bermula apabila cahaya lampu laser yang dimainkan oleh anak peniaga kedai runcit terkena pada muka rakan mangsa menyebabkan mereka memarahinya.

Keadaan itu bertukar menjadi insiden berdarah apabila berlaku pertengkaran antara mereka.