Mati ditikam dengan garpu akibat selisih faham isu hutang

Laporan Sinar Harian pada 10 Mei lalu.
Laporan Sinar Harian pada 10 Mei lalu.
A
A
A

SERDANG - Siasatan kes bunuh warga emas berusia 70-an yang ditemui mati di dalam sebuah kereta di Jalan Selayang Baru, Batu Caves, Selangor pada 9 Mei lalu hampir selesai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seorang suspek warganegara Indonesia telah ditahan pada hari yang sama selepas kejadian itu berlaku.

Menurutnya, suspek dan mangsa saling mengenali serta tinggal dalam kawasan berhampiran.

"Suspek dipercayai selalu membuat pinjaman wang dengan mangsa bagi perniagaan barangan emas secara kecil-kecilan.

"Pada hari kejadian, suspek dan mangsa dipercayai bertelingkah serta bertengkar ekoran pinjaman wang sebanyak RM3,000.

"Suspek dipercayai telah menikam leher mangsa menggunakan garpu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Balai Polis Seri Kembangan di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, kertas siasatan berhubung kes itu hampir selesai dan akan dirujuk kepada pendakwa raya dalam masa terdekat.

Pada 10 Mei lalu Sinar Harian melaporkan penemuan mayat seorang lelaki warga emas yang dipercayai mati dibunuh dalam sebuah kereta di Jalan Selayang Baru, Batu Caves.

Mangsa yang berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di leher ditemui di bahagian pemandu kereta jenis Perodua Kancil di kawasan lapang hadapan sebuah pusat beli-belah.