X

Kindly register in order to view this article
!

Menanti pembukaan masjid di Athens

Gambar fail menunjukkan sejumlah penduduk Muslim bersolat di sebuah rumah ALLAH di Athens. - Foto AFP
A
A

SELEPAS Turki menukarkan muzium Hagia Sophia di Istanbul kembali menjadi masjid, penduduk Muslim di Athens kini bimbang projek pembukaan sebuah rumah ALLAH tempat mereka beribadat yang tertangguh selama lebih sedekad akan berlanjutan lagi.

Projek kerajaan untuk membuka tempat orang Islam bersolat itu di Athens itu dilancarkan pada tahun 2007.

Bagaimanapun, pembukaan masjid itu mendapat tentangan daripada kumpulan nasionalis dan Gereja Ortodoks yang berpengaruh di negara berkenaan.

"Saya berpendapat selepas insiden ini (pertukaran status Hagia Sophia), kemungkinan sukar untuk membuka sebuah masjid secara rasmi yang kami tunggu-tunggu selama 10 tahun di Greece," kata Imam Atta-ul Naseer.

Sejumlah umat Islam menunaikan solat di luar pekarangan Hagia Sophia, Istanbul baru-baru ini. - Foto AFP
Sejumlah umat Islam menunaikan solat di luar pekarangan Hagia Sophia, Istanbul baru-baru ini. - Foto AFP

Beliau kini mengendalikan sebuah rumah ALLAH sementara di sebuah apartmen di tengah Athens.

Sebuah seni bina yang mengagumkan pada abad keenam, gereja Hagia Sophia Byzantine ditukarkan menjadi sebuah masjid sejak tahun 1453 selepas empayar Uthmaniyyah menawan kota Constantinople yang turut bertukar nama menjadi Istanbul.

Pada tahun 1934, pengasas Republik Turki, Mustafa Kemal Ataturk menukarkan bangunan tersebut daripada masjid kepada muzium sebagai simbol Turki yang sekular.

Bagaimanapun, sebuah mahkamah negara itu memutuskan bahawa bangunan Hagia Sophia perlu ditukarkan semula menjadi rumah ALLAH.

"Saya berpendapat sebuah masjid sepatutnya kekal menjadi sebuah masjid. Ia tidak sepatutnya menjadi sebuah gereja. Seperti penganut Kristian menjangkakan Hagia Sophia kekal sebagai sebuah gereja, orang Muslim juga menjangka ia menjadi masjid," kata imam tersebut.

Masjid rasmi di Athens tidak mempunyai menara dan di bawah pengawasan negara Greece dan ia dijangka dibuka secara rasmi pada akhir musim luruh di daerah perindustrian Elaionas, timur laut Athens.

Bandar Athens pernah diduduki tentera empayar Uthmaniyyah. - Foto AFP
Bandar Athens pernah diduduki tentera empayar Uthmaniyyah. - Foto AFP

Namun, pada waktu yang sama, bagi memenuhi keperluan hampir 300,000 komuniti Muslim, sejumlah rumah ALLAH sementara dibuka di apartmen dan ruang bawah tanah sejak beberapa tahun lalu.

Imam itu percaya masjid bersejarah empayar Uthmaniyyah di Athens seperti di tengah dataran Monastiraki yang sudah bertukar menjadi sebuah muzium boleh menjadi tempat untuk bersolat bagi umat Islam.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pernah membuat cadangan seumpama itu kepada para pemimpin Greece pada masa lalu.

Tetapi, ia terletak di sebuah negara yang pernah diduduki empayar Uthmaniyyah selama berabad-abad sebelum kemerdekaan diperoleh pada abad ke-19.

Di Greece, sentimen anti-Turki amat kuat dan ketegangan antara dua buah negara berhubung migrasi dan penerokaan tenaga di timur Mediterranean memperkukuhkan lagi kemarahan rakyat negara itu.

"Dalam hati orang Greece, penduduk Muslim masih dianggap dikaitkan dengan penceroboh Turki," kata imam berkenaan.

Menetap di Greece selam tujuh tahun, Atta-ul yang berketurunan Pakistan berhadapan dengan perkauman dan keganasan oleh militan yang neo-Nazi.

"Namun, secara amnya, penduduk Kristian dan Muslim tinggal bersama secara aman," katanya.

Dalam percubaan untuk mendirikan sebuah masjid sementara, Greece melaksanakan peraturan yang ketat.

Pengendali rumah ALLAH itu perlu mendaftarkan nama perwakilan agama dan latar belakangnya, jumlah orang yang kerap bersolat dan sumber pendapatan.

Dewan bersolat juga dikehendaki memenuhi standard keselamatan termasuk mempunyai sebuah loceng amaran, kemudahan kebersihan dan laluan kecemasan.

"Prosedur-prosedur itu rumit dan mengambi masa. Beberapa buah masjid telah memperoleh permit daripada kementerian," kata imam tersebut.

Di kawasan kejiranan Pakistan di Athens, sebuah pintu berwarna hijau berada di laluan beli-belah iaitu pintu masuk ke Masjid Al Jabbar.

Imam Abu Bakr berketurunan Bangladesh kemudian menunjukkan dokumen kementerian yang ditampal di dinding.

"Sejak tahun 2017, kami beroperasi secara sah," katanya.

"Sebuah masjid rasmi yang kerajaan Greece mahu buka adalah jauh dari pusat bandar raya Athens iaitu tempat ramai pelarian tinggal dan hanya boleh memuatkan kira-kira 350 orang," tambahnya.

"Masjid-masjid tidak rasmi kemudiannya akan menjadi sah di sisi undang-undang seperti kami akan menjadi penting kepada penduduk Muslim yang mahu melaksanakan kepercayaan mereka di Athens," kata Abu Bakar.

Satu-satunya masjid daripada era kerajaan Uthmaniyyah yang kini beroperasi di Greece adalah terletak dengan sempadan Turki iaitu di Thrace.

Kira-kira 150,000 penduduk minoriti Turki tinggal di kawasan tersebut. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!