X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu e-hailing mengaku salah hina Agong

324253
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di laman sosial Twitter Mac lepas.

Sufazrin Amin Ismail, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy yang kemudiannya menetapkan 27 Ogos untuk menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Sufazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil “Fazrin Ismail” atau “@Fazr_Ismail”.

Dia dituduh membuat empat hantaran dengan penyataan yang berbeza terhadap Yang di-Pertuan Agong antara jam 1.56 tengah hari dan 10.29 malam pada 23 Mac dan 25 Mac lepas.

Kesemua pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju di sini pada jam 7 malam 28 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira hantaran OKS itu berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong.

“OKS sebagai rakyat Malaysia seharusnya taat setia kepada raja dan negara. Saya mohon hukuman berbentuk pengajaran supaya masyarakat tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Sufazrin Amin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia berasal dari keluarga susah dan ibunya bekerja sebagai penoreh getah.

“Saya telah insaf dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana hantaran saya itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.

“Saya berjanji tidak akan mengaibkan atau menghina mana-mana pihak lagi,” katanya dalam nada sebak.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!