Hubungan Rusia, UK makin tegang

Moscow menafikan terlibat dalam dakwaan membocorkan dokumen perdagangan antara United Kingdom dengan Amerika Syarikat. - Foto AFP
Moscow menafikan terlibat dalam dakwaan membocorkan dokumen perdagangan antara United Kingdom dengan Amerika Syarikat. - Foto AFP
A
A
A

Rusia memberi amaran bahawa hubungan yang telah lama terjalin antara negara itu dengan Britain yang kini tegang berikutan beberapa tuduhan yang tidak berasas mungkin akan menjadi 'kaku'.

Ia adalah kerana London sering kali menuduh Moscow bertindak campur tangan dalam hal ehwal United Kindom (UK).

Baru-baru ini, bekas pemimpin parti Buruh, Jeremy Corbyn menuduh Rusia sebagai dalang di sebalik insiden mencuri dokumen perdagangan antara UK dengan Amerika Syarikat (AS) setebal 451 halaman.

Dokumen itu diperoleh selepas e-mel bekas Setiausaha Negara Untuk Perdagangan Antarabangsa Britain yang juga wakil rakyat daripada parti Konservatif, Liam Fox digodam pada tahun lalu tetapi hanya didedahkan pada awal bulan ini.

Satu ikuiri jenayah tentang pembocoran tersebut kini dilakukan oleh Agensi Jenayah Kebangsaan.

Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab juga mengesahkan pada bulan lalu bahawa kerajaan mempunyai keyakinan bahawa Rusia cuba untuk campur tangan dalam pilihan raya UK pada tahun 2019.

Bagaimanapun, dalam satu temu ramah dengan akhbar Daily Mail sejak dilantik menjadi duta Rusia ke UK, Andrei Kelin menafikan dakwaan bahawa negaranya mencampuri urusan politik Britain.

Beliau menafikan Moscow membocorkan dokumen sensitif dengan menggodam e-mel milik Fox itu atau cuba mencuri vaksin koronavirus (Covid-19) yang dihasilkan Britain.

Artikel Berkaitan:

Kelin sebaliknya mendakwa Rusia semakin hampir menemui vaksin Covid-19 dan ia akan keluar menjelang Oktober ini.

Dalam wawancara itu, beliau sekali lagi menolak dakwaan bahawa Rusia cuba untuk menjejaskan pungutan suara kemerdekaan Scotland dari UK pada 2014, referendum Britain keluar Kesatuan Eropah (Brexit) dan pilihan raya parlimen di UK pada tahun 2019.

"Dalam semua kes itu, Rusia tidak mempunyai kepentingan politik. Kami tidak merasakan untuk memilih mana-mana pihak," katanya.

Beliau mendakwa Britain banyak 'melemparkan lumpur' ke arah Rusia berikutan tuduhan-tuduhan itu.

Kelin memberi amaran bahawa sikap negara itu terhadap Rusia mungkin menjejaskan hubungan.

Justeru, beliau berkata, hubungan tersebut semakin hampir untuk.

"Tuduhan-tuduhan itu dicipta, jika tidak boleh dikatakan palsu. Ini adalah tuduhan tidak berasas dan kita pun tidak memahaminya," katanya dalam wawancara dengan akhbar tersebut.

Hubungan Rusia dengan Britain juga merosot sejak tahun 2018 berikutan tuduhan London bahawa Moscow terlibat dalam serangan di bandar Salisbury.

Ia dikenali dengan serangan di Salisbury apabila bekas pegawai perisik Rusia, Sergei Skripal yang kini berusia 69 tahun dan seorang anak perempuannya dipercayai diracun dengan menggunakan agen saraf Novichok.

Skripal dan anak perempuannya ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bangku di Salisbury berhampiran kediaman mereka.

Yulia sedarkan diri selepas serangan tersebut dan boleh bercakap semula.

Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada 9 April 2018.

Skripal pula berada dalam keadaan kritikal sehingga beliau sedar dan dibenarkan keluar hospital sebulan selepas serangan tersebut.

Serangan yang berlaku di Britain itu menyaksikan hubungan Rusia dengan UK menjadi dingin.

Moscow menafikan terlibat dalam serangan itu tetapi mendakwa ejen perisikan Britain menggunakan agen saraf Novichok yang dihasilkan tentera bekas Kesatuan Soviet bagi memerangkap Rusia.

Perdana Menteri Britain ketika itu, Theresa May kemudiannya mengusir 23 diplomat Rusia dari UK iaitu 10 hari selepas serangan tersebut.

Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin pula, menurut akhbar Moscow Times menyatakan bahawa negaranya menjadi sasaran dalam kes Skripal.

Ini adalah kerana kaedah Russophobic digunakan dalam kes tersebut.

Russophobic ialah perkataan yang digunakan untuk menggambarkan kebencian terhadap Rusia.

Justeru, tentang masa depan hubungan Moscow dengan London, duta Rusia ke UK itu berkata: "Kita tidak tinggal dalam benua yang sama dan pastinya hubungan kita akan kembali menjadi normal secepat mungkin atau tidak lama lagi". - Agensi