X

Kindly register in order to view this article
!

Tuduhan 'Speaker berat sebelah' panaskan Sidang Dewan

Mohd Rashid Hasnon - Foto sumber internet
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan ahli Parlimen pembangkang 'Speaker berat sebelah' mencetuskan kekecohan hampir 10 minit ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di Dewan Rakyat, petang ini.

Situasi mula 'panas' apabila Yeo Bee Yin (PH-Bakri) bangun mempertahankan dirinya menjawab dakwaan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai empat daripada lima pembida yang berjaya dalam Projek Solar Berskala Besar Pusingan Ketiga (LSS3) adalah dari syarikat asing, ketika mencelah sesi itu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon bagaimanapun tidak mengizinkan Yeo mencelah dan memberi laluan kepada menteri berkenaan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah meneruskan penggulungannya.

"Ini bukan sesi perbahasan YB Bakri (Yeo), ini (sesi) bertanya kepada menteri (Shamsul Anuar)...biar menteri jawab," tegas Mohd Rashid.

Namun, Yeo yang juga bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkeras mahu menjawab dakwaan Salim sehingga Yeo mengeluarkan kenyataan Mohd Rashid bertindak berat sebelah.

"Adakah tuan Speaker berat sebelah... di mana menteri tidak berani menjawab (soalan)... adakah ini adil," soal Yeo.

Mohd Rashid bagaimanapun menepis tuduhan itu: "Saya seadilnya (memutuskan) ini 'floor' (waktu) menteri (menggulung)... saya sebut nanti menteri beri laluan kepada YB lain untuk bercakap".

Susulan itu, Willie Anak Mongin (Bersatu-Puncak Borneo) diikuti Awang Hashim (Pas-Pendang) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 yang meminta Yeo menarik balik kenyataan itu, namun Yeo berkata akan menarik balik ungkapan itu dengan syarat beliau diberi ruang untuk mencelah penggulungan menteri.

Keadaan terus panas dengan perang mulut antara Yeo dan Mohd Rashid, sehingga memaksa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu memberi tiga kali amaran supaya Yeo menarik balik tuduhan berat sebelah.

"Saya minta YB Bakri tarik balik (kenyataan)... kalau tidak, saya (terpaksa) minta Bentara (petugas Dewan Rakyat) jalankan tugas. YB berdiri (mencelah) tanpa kebenaran saya.

"YB Bakri (Yeo), ini amaran kali ketiga untuk tarik balik kenyataan tanpa syarat," katanya.

Yeo kemudian menarik balik kenyataannya dan persidangan diteruskan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!