Ahli Parlimen pembangkang dakwa belum terima peruntukan

Wan Ahamd Fayhsal menyampaikan ceramah di Program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa pada Jumaat.
Wan Ahamd Fayhsal menyampaikan ceramah di Program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen pembangkang di negeri ini mendakwa terkesan kerana belum menerima peruntukan selepas lapan bulan berkhidmat di kawasan mereka.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kesemua mereka menggunakan simpanan dan gaji sendiri untuk membiayai menguruskan masalah rakyat di pusat khidmat mereka.

Beliau memberitahu, bagaimanapun rakyat antara yang paling terkesan kerana tidak menerima hak mereka untuk hidup lebih baik.

"Kenapa mahu menzalimi pengundi kami. Sebenarnya bantuan boleh disalurkan kepada agensi mereka supaya rakyat dapat menikmati mendapat limpahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mencadangkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kepada Pejabat Daerah atau agensi mereka supaya rakyat boleh merujuknya jika ada masalah.

Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa kerajaan gagal menunaikan janji dalam manifesto mereka bahawa rakyat akan menikmati kehidupan lebih baik.

"Ke mana perginya peruntukan yang tidak disalurkan kepada kami. Kita harap kerajaan menjalankan tanggungjawab itu untuk keperluan rakyat," katanya.