Polis berkas tiga lelaki samun beg tangan wanita

Motosikal yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah samun.
Motosikal yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah samun.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis berjaya memberkas tiga lelaki secara berasingan di Ampang, semalam kerana disyaki terlibat dengan kes samun beg tangan milik seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan dua suspek berusia 26 dan 28 tahun di Taman Cheras Indah di sini pada jam 11.30 malam.

"Sepasukan anggota polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang dinaiki kedua-dua suspek itu," katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, pemeriksaan ke atas salah seorang suspek menjumpai sebuah telefon bimbit milik mangsa ragut.

"Siasatan awal mendapati suspek berkenaan telah membeli telefon bimbit itu di sebuah premis di Kampung Ampang Indah Mulia Jaya, Ampang," katanya.

Beliau berkata, polis kemudian memberkas seorang lelaki berusia 25 tahun di premis berkenaan pada jam 1.05 pagi hari ini.

"Pemeriksaan lanjut polis menjumpai motosikal dan pakaian yang disyaki digunakan suspek semasa melakukan jenayah samun di Dataran Bandar Sunway di sini," katanya.

Nik Ezanee berkata, kesemua suspek direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada 16 Julai lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang mendakwa beg tangannya telah disamun oleh seorang lelaki di Bandar Sunway di sini.