Gambar Altantuya, Abdul Razak dan TPM palsu: Sepupu

Altantuya Shaariibuu
A
A

SHAH ALAM - Sepupu Altantuya Shaariibuu hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa gambar wanita Mongolia yang dibunuh itu, bersama penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan timbalan perdana menteri yang dikemukakan di mahkamah adalah palsu.

Burmaa Oyunchimeg, 37, berkata gambar yang memaparkan wanita itu bersama dua lelaki berkenaan dihasilkan melalui teknik photoshop dan palsu.

“Ia teknik photoshop yang teruk dan palsu sama sekali," katanya semasa Peguam Kanan Persekutuan Jasmee Hameeza Jaafar, yang mewakili kerajaan Malaysia, merujuk gambar tiga individu itu kepadanya.

Burmaa, bagaimanapun berkata, dia pernah melihat gambar sebenar Altantuya duduk bersama dua lelaki yang diambil di Paris pada 2005 dan mereka tersenyum melihat kamera.

"Altantuya telah menunjukkan gambar asal bersama ratusan gambar lain dalam satu album kepada saya termasuk gambar Altantuya dengan Abdul Razak dalam sebuah Ferrari apabila kami (Burma dan Altantuya) berada di Ulan Bator, Mongolia," katanya pada perbicaraan saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.

Wanita itu berkata gambar asal tiada dalam simpanannya dan dia juga tidak tahu apa yang terjadi pada gambar berkenaan.

"Apa yang saya tahu, ‘Mr Ang’ (penyiasat persendirian yang diupah Altantuya) memberitahu saya yang dia nampak gambar itu dalam simpanan Altantuya," katanya.

Apabila dicadangkan oleh Jasmee Hameeza bahawa saksi tidak boleh mengemukakan gambar asal yang ditunjukkan kepadanya oleh Altantuya kerana gambar itu sebenarnya tidak pernah wujud, Burmaa berkata: "Tidak, saya tidak setuju".

Burmaa juga memberitahu mahkamah bahawa Altantuya mengupah 'Ang' untuk mencari Abdul Razak.

Saksi pertama bagi plaintif itu berkata Altantuya memberitahunya yang dia meminta 'Ang' mencari Abdul Razak selepas gagal menghubunginya.

Semasa disoal peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili Abdul Razak, sama ada anak guamnya pernah memberitahunya apa-apa yang dia tidak boleh bertemu Altantuya.

Burmaa berkata: "Ya, Razak Baginda menghantar pesanan kepada saya dan memberitahu yang dia tidak boleh berjumpa Altantuya".

Manjeet: Kamu tidak membalas pesanan Razak Baginda?

Burmaa: Ya.

Manjeet: Adakah kamu menyampaikan pesanan itu kepada Altantuya?

Burmaa: Ya.

Burmaa berkata dia juga bertanyakan soal itu kepada Altantuya dan Altantuya memaklumkan ada masalah kecil dan memintanya supaya tidak membalas pesanan Razak.

Pada 4 Jun, 2007, keluarga Altantuya iaitu bapanya Dr Shaariibuu Setev dan isteri Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman sivil RM100 juta terhadap dua bekas anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, serta Abdul Razak dan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai sebagai plaintif selepas meninggal dunia dua tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung esok dan akan mendengar keterangan Dr Shaariibuu. -Bernama