X

Kindly register in order to view this article
!

Geng Adi potong kabel TM ditahan

Tiga kunci kenderaan yang dirampas daripada Geng Adi pada serbuan di Melaka dan Johor. (Gambar kecil: Afzanizar)
A
A

MELAKA TENGAH - Masalah gangguan sistem telekomunikasi yang berlaku di beberapa kawasan sekitar daerah Melaka Tengah akhirnya membongkar perbuatan khianat oleh sekumpulan individu digelar Geng Adi Telekom Malaysia (TM).

Penahanan lapan individu dalam tujuh tangkapan berasingan di negeri ini dan di Johor oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya menyelesaikan isu kabel FOC yang telah dipotong.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kesemua lelaki yang ditahan berusia di antara 24 hingga 42 tahun bekerja sebagai penarik dan penyambung kabel termasuk seorang kontraktor yang beralamat di Taman Tasik Utama Ayer Keroh dan merupakan perancang utama kepada perbuatan jenayah itu.

Menurutnya, perbuatan memotong kabel membabitkan kawasan Melaka Tengah dan Merlimau, Jasin dipercayai dilakukan sejak bulan lalu sebelum siasatan dan tangkapan dilakukan bermula Ahad lalu hingga semalam.

Katanya, polis turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Proton Saga FLX, Perodua Alza, Mercedes dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk memotong kabel.

"Hasil soal siasat yang dijalankan kita mendapati ia dirancang oleh seorang kontraktor berusia 42 tahun manakala suspek lain adalah pekerjanya selain seorang individu yang berperanan sebagai pembuka peti 'manhole' dan memotong kabel-kabel FOC.

"Kabel-kabel itu tidak dicuri dan punca utama perbuatan khianat ini kerana mereka tidak berpuas hati terhadap seorang penyelenggara TM yang memeriksa hasil kerja dilakukan oleh kontraktor-kontraktor untuk menyiapkan projek baik pulih serta berkaitan 'manhole," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program taklimat prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Balai Polis Malim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan lampau mendapati dua daripada lapan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan kecurian.

"Dengan tertangkapnya geng terbabit kita berjaya menyelesaikan beberapa kes potong kabel di daerah ini yang jumlah kerugian dianggarkan hampir RM500,00 bagi empat kes di Melaka termasuk kos baik pulih," katanya.

Kesemua mereka direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!