Curi kabel: Geng Aji Lebai, Geng Zali Black dan Geng Ogy tumpas

Fisol (kanan) menunjukkan peralatan dan kelengkapanyang digunakan oleh tiga kumpulan tersebut untuk mencuri kabel di Kedah.
Fisol (kanan) menunjukkan peralatan dan kelengkapanyang digunakan oleh tiga kumpulan tersebut untuk mencuri kabel di Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menumpaskan tiga kumpulan disyaki terlibat dalam kes kecurian kabel milik Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tiga daerah di Kedah yang melibatkan kerugian sebanyak RM150,000.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kumpulan tersebut masing-masing dikenali sebagai Geng Aji Lebai di Alor Setar, Geng Zali Black (Kubang Pasu) dan Geng Ogy (Baling).

Menurutnya, selepas menahan 15 suspek dan tertumpasnya tiga kumpulan terbabit, polis berjaya menyelesaikan lapan kes kecurian berkaitan kecurian kabel.

"Polis Kedah masih mengesan enam lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes dan kami percaya masih ada lagi kumpulan yang masih bebas curi kabel khususnya di negeri Kedah.

"Operasi giat dijalankan bagi melumpuhkan kegiatan kecurian kabel ini. Polis meminta orang ramai agar sentiasa peka dan membantu dalam membanteras serta mencegah jenayah dengan menyalurkan maklumat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Rabu.

Fisol menunjukkan kabel yang dirampas daripada geng curi kabel tersebut selepas sidang akhbar di IPK Kedah pada Rabu.
Fisol menunjukkan kabel yang dirampas daripada geng curi kabel tersebut selepas sidang akhbar di IPK Kedah pada Rabu.

Fisol berkata, bagi kes Geng Zali Black, polis mendapat aduan daripada kontraktor TNB pada 6 Jun lalu berhubung kehilangan dua dram kabel milik TNB di Kubang Pasu yang dianggarkan bernilai RM80,000.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, polis menahan lapan lelaki berusia antara 30 hingga 45 tahun di beberapa lokasi berasingan di Kedah dan Perlis.

“Kumpulan ini menyasarkan kabel milik syarikat yang diletakkan di tepi jalan sebelum proses pemasangan dan akan membawa kabel itu terus kepada pembeli menggunakan lori pengangkut disewa,” ujar beliau.

Bagi kes Geng Aji Lebai pula, Fisol berkata, polis menumpaskan kumpulan terbabit pada 9 Jun lalu lalu dengan menahan empat lelaki berusia antara 38 hingga 54 tahun.

“Polis menahan sebuah kenderaan jenis Naza Citra yang dinaiki lelaki berusia 39 tahun sebelum menemui kabel dan peralatan digunakan untuk melakukan kegiatan itu. Hasil siasatan lanjut, telah membawa kepada penahanan sebuah lagi kenderaan jenis Nissan Sentra dinaiki tiga suspek.

“Semasa tangkapan dijalankan, suspek bertindak mengundur dan melanggar seorang anggota polis.

Polis bertindak melepaskan satu das tembakan dan salah seorang suspek mengalami kecederaan ringan manakala anggota polis berkenaan mengalami patah kaki kanan,” katanya.

Sementara itu, bagi kes Geng Ogy pula, polis menahan dua kenderaan dinaiki tiga lelaki berusia antara 37 hingga 42 tahun di kawasan Masjid Titi Teduri, Baling dan hasil pemeriksaan kabel TM dicuri dianggarkan bernilai RM20,000.

“Ketiga-tiga kumpulan ini menggunakan modus operandi yang sama iaitu memakai ‘vest’ dan berpura-pura menjalankan penyelenggaraan bagi kedua-dua syarikat berkenaan. Nilai kerugian bagi ketiga-tiga kumpulan ini dianggarkan berjumlah RM150,000.

“Hasil saringan urin mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ada yang mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pelbagai jenayah.

"Kesemua suspek masih dalam tahanan reman, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379 dan Seksyen 431A,” jelas Fisol lagi.