X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Air Selangor peruntuk RM35.41 bilion

Suhaimi Kamaralzaman
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan membelanjakan sebanyak RM35.41 bilion dalam tempoh 30 tahun di bawah perbelanjaan modal (CAPEX) untuk melaksanakan tujuh rancangan dan inisiatif strategik dalam mengekstrak, merawat dan mengagihkan bekalan air terawat.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, perbelanjaan itu bagi memastikan pengurusan air yang cekap menerusi usaha menaik taraf aset bekalan air, pelaksanaan inisiatif untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dan memastikan bekalan air mencukupi untuk semua pengguna.

“Walaupun situasi masa depan tidak dapat diramal berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan cabaran semasa pandemik Covid-19, jaminan Air Selangor untuk memberikan perkhidmatan dan prestasi cemerlang tidak berubah dan tetap utuh.

“Dalam kita mengorak langkah di tahun 2020, kami bersedia dan komited untuk mengadaptasi norma baharu.

"Kami tetap teguh dan fokus dalam memberikan perkhidmatan dan kualiti air yang terbaik seiring dengan usaha untuk memberi pengalaman pelanggan terbaik,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Terdahulu, beliau memaklumkan Air Selangor menerbitkan Laporan Prestasi 2019 yang memberi tumpuan pencapaian dan pelaksanaan beberapa inisiatif utama sebagai pemegang lesen tunggal pembekal air kepada 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Menurutnya, prestasi tahun 2019 menunjukkan strategi transformasi radikal seiring dengan usaha pihaknya meningkatkan kecekapan operasi termasuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) daripada 31.6 peratus pada 2018 kepada 29.6 peratus tahun lalu.

“Dalam tempoh tiga tahun sejak 2017, kadar NRW dikurangkan secara progresif, kami percaya penurunan kadar NRW secara konsisten dapat dicapai pada setiap tahun. Air Selangor membelanjakan sejumlah RM201.9 juta pada tahun 2019 menerusi Program Pengurangan NRW.

“Ini termasuk usaha untuk mengurangkan kes paip pecah, pemasangan sensor pada paip utama, kerja penggantian meter lama dan rosak serta penggantian paip lama dan yang kerap pecah,” katanya.

Suhaimi berkata, laporan itu juga menunjukkan kejayaan Air Selangor dalam meningkatkan rezab bekalan air kepada 10.97 peratus pada Disember 2019 berbanding 4.51 peratus pada 2018 melalui peningkatan kapasiti pengeluaran bekalan air terawat daripada 34 loji rawatan air termasuk Stream B, Loji Rawatan Air Langat 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang yang mula beroperasi tahun lalu.

“Tahun lalu, Air Selangor juga mencapai pematuhan kualiti air secara keseluruhan pada tahap 99.87 peratus melepasi penanda aras bagi Piawaian Kualiti Air Minum Nasional yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu pada tahap 92.7 peratus,” katanya.

Beliau sebelum itu menjelaskan sejumlah RM162.2 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penggantian paip lama dan kerap pecah yang terbukti berjaya mengurangkan Indeks Paip Pecah (PBI) kepada 9.6 kes untuk 100 kilometer (km) setahun berbanding standard PBI antarabangsa iaitu 13 kes setiap 100km setahun.

Dalam pada itu, maklumat lanjut mengenai sorotan Laporan Prestasi Air Selangor 2019 boleh didapati di https://www.airselangor.com.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!