Lelaki tular cuba bunuh diri didenda RM3,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang tular kerana cubaan bunuh diri di sebuah pangsapuri di Cheras Sabtu lalu didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Shahfirul Hakim Shahidan, 28, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Majistret Tawfiq Affandy Chin turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Shafirul yang merupakan seorang penganggur didakwa melakukan suatu perbuatan iaitu cuba terjun dari bangunan melalui pagar balkoni rumah yang cenderung ke arah berlakunya perbuatan membunuh diri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah blok Pangsapuri Flat Sri Johor 4C, Jalan Cheras di sini pada jam 4.45 pagi pada 1 Ogos lalu.

Kesalahan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan denda yang ringan dengan alasan dia tidak bekerja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh yang cuba membunuh diri itu telah menyusahkan banyak pihak semasa kejadian.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lalu, akhbar tempatan melaporkan mengenai seorang lelaki mengamuk dan cuba untuk membunuh diri di sebuah pangsapuri di Cheras akibat tekanan perasaan disebabkan masalah keluarga.