Pasangan kekasih berdepan hukuman gantung

Pasangan kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas tuduhan mengedar dadah Mei lalu.
Pasangan kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas tuduhan mengedar dadah Mei lalu.
A
A
A

KULAI - Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah pada Mei lalu.

Tertuduh, Kok Choon King, 26, dan Hiu Sie Jia, 31, didakwa mengedar dadah jenis methapehetamine seberat 516 gram di sebuah syarikat kurier kira-kira jam 6 petang pada 11 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Husin.

Pendakwaan dikendalikan, Muhamad Sabiq Mohd Subri.

Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan bagi sebutan semula kes dan mendapatkan status laporan kimia.

Choon King diwakili peguam Ong Weng Li manakala Sie Jia diwakili Tan Choon Hong.

Pada 2 Jun lalu, media melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine ke negara Singapura menggunakan khidmat kurier pada Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan rampasan dadah itu turut dibantu syarikat khidmat kurier selepas menerima bungkusan mencurigakan daripada pelanggan.

Pasukan Cawangan Narkotik Johor JKDM mendapati bungkusan yang diterima mengandungi dadah yang disembunyikan dalam dua set alat pembesar suara.