Presiden Filipina mohon maaf

Rodrigo Duterte
Rodrigo Duterte
A
A
A

MANILA - Presiden Filipina, Rodrigo Duterte lewat malam tadi melaksanakan semula langkah lockdown ketat di sekitar Manila dan empat wilayah di Pulau Luzon selepas negara itu menyaksikan peningkatan kes jangkitan harian koronavirus (Covid-19) untuk tempoh empat hari berturut-turut.

“Kami cuba yang terbaik. Maaf Manila,” katanya selepas mesyuarat bersama para menteri.

Beliau membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan saranan pasukan petugas yang mengawasi usaha untuk memperlahankan penyebaran virus itu.

Langkah itu akan menyebabkan lebih 27 juta penduduk atau kira-kira satu pertiga daripada populasi di negara tersebut akan kembali berdepan langkah kuarantin komuniti yang diubah suai dan dipertingkatkan bermula hari ini hingga 14 Ogos depan.

Di bawah peraturan tersebut, pengangkutan awam termasuk penerbangan domestik akan menghentikan operasi untuk memperlahankan penularan wabak itu yang telah meragut lebih 2,000 nyawa.

Selain itu, penduduk juga diminta tidak keluar rumah kecuali untuk membeli barang keperluan atau melakukan aktiviti fizikal.

Langkah lockdown itu juga hanya membenarkan beberapa perniagaan beroperasi dan restoran hanya dibolehkan menyediakan perkhidmatan makanan bawa pulang.

Sabtu lalu, sebanyak 80 persatuan perubatan menggesa Duterte memperketatkan semula sekatan selepas kebanyakan hospital kini tidak lagi berupaya menangani kebanjiran pesakit.

Artikel Berkaitan:

Lebih 5,000 kakitangan perubatan telah dijangkiti Covid-19 selepas kes jangkitan melonjak lima kali ganda sejak awal Jun lalu. - AFP