Jangan beri Filipina laluan untuk rampas Sabah

No Image Caption
A
A
A

TUNTUTAN demi tuntutan yang dibuat oleh pemerintah Filipina terhadap Sabah tidak boleh dipandang remeh oleh rakyat Malaysia.

Terbaharu, Setiausaha Luar Negeri Filipina, Teodoro Locsin Jr menyatakan Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia pada 27 Julai lalu.

Kenyataan Locsin dalam laman Twitternya itu sebagai reaksi terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Filipina yang menyiarkan gambar ketika memberi bantuan kepada rakyat Filipina yang dihantar dari Sabah.

Jika kita imbas semula sejarah, Sabah telah diserahkan kepada British oleh Kesultanan Sulu pada tahun 1878 dan akhirnya kepada Malaysia pada tahun 1963 apabila Persekutuan Malaysia dibentuk hasil gabungan koloni-koloni British iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura bersama negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu yang berdaulat.

Di bawah undang-undang antarabangsa, preskripsi merujuk kepada pemerolehan kedaulatan menerusi pengamalan kedaulatan yang sebenar dan ia dikekalkan untuk jangka masa yang munasabah.

Sabah sekian lama diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan Persekutuan pada 16 September 1963.

Walaupun Sabah pernah menjadi sebahagian daripada Kesultanan Sulu tetapi senario politik Sabah dan Filipina telah berubah sejak penjajah Sepanyol, British dan Amerika menjejakkan kaki mereka ke rantau ini.

Oleh itu, Filipina tidak mempunyai sebarang asas untuk membuat tuntutan terhadap Sabah lagi.

Artikel Berkaitan:

Kini negeri di bawah bayu itu adalah sebahagian dari Malaysia yang aman dan sentosa dengan pentadbiran yang jauh lebih baik berbanding Filipina yang kini bergelut dengan pelbagai masalah.

Memang pada ketika ini Sabah sedang berhadapan dengan kemelut politik tetapi kematangan yang ditunjukkan oleh rakyat dan pemimpin-pemimpin di Malaysia menjadi contoh bahawa Malaysia mampu mentadbir negara sendiri dengan baik.

Filipina sepatutnya memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah Covid-19 di negara mereka terlebih dahulu yang kini diambang kemusnahan termasuk kemiskinan dan dadah yang tidak berkesudahan.

Bagaimanapun, kita semua haruslah terus ingat dan berwaspada bahawa ancaman dari dalam yang secara diam-diam mahukan Sabah keluar dari Malaysia.

Jika ia berlaku, tidak mustahil laluan mudah akan diberikan kepada Filipina untuk meneruskan hasrat mereka menjadikan Sabah milik mereka selamanya.

Sebelum ia berlaku, rakyat perlu ada kesedaran yang tinggi untuk mempertahankan negara yang dicintai dan berpegang teguh kepada slogan bersatu kita teguh, bercerai kita pasti akan roboh.