X

Kindly register in order to view this article
!

Masjid, surau di Kubang Pasu dan Padang Terap ditutup

Sembilan masjid dan semua surau di beberapa kariah dalam daerah Kubang Pasu dan Padang Terap ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran. - Foto sumber internet
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak sembilan masjid dan semua surau di beberapa kariah dalam daerah Kubang Pasu dan Padang Terap ditutup sejak semalam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

Dalam kenyataan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), arahan khas penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau terbabit dilaksana sebagai pelengkap kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Isu Covid-19 Kedah.

Antara masjid dan surau terbabit di Kubang Pasu melibatkan kariah Hosba, Kampung Cherok Mokkan, Megat Dewa, Binjal, Asun dan Kampung Bukit.

Bagi daerah Padang Terap, kariah bagi masjid dan surau di Kampung Kubang Palas, Kampung Padang Sanai serta Kariah Kampung Padang Cenderai.

"Solat Jumaat di masjid-masjid di kariah itu ditangguhkan dan digantikan dengan solat Zuhur, bagaimanapun hanya tiga individu iaitu imam, pegawai masjid dan jawatankuasa kariah dibenarkan secara bergilir-gilir dalam satu waktu dan mengikut prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.

"Sehubungan itu, anak kariah bagi masjid terbabit hendaklah mengantikan solat Jumaat dengan solat fardu Zuhur di rumah dan menunaikan solat fardu lain di kediaman masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, anak kariah bagi masjid terbabit dilarang menunaikan solat Jumaat atau fardu secara berjemaah di masjid serta surau lain.

Malah, aktiviti keagamaan lain seperti kuliah, majlis ilmu, kelas pengajian, majlis bacaan Yasin dan sebagainya juga tidak dibenarkan.

"Bagaimanapun, laungan azan di masjid-masjid tersebut dibenarkan sebagai makluman kepada anak kariah berkaitan waktu solat," menurut kenyataan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD pentadbiran di empat mukim di Kedah bermula hari ini


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!