Bekalan gula dijamin mencukupi di Kubang Pasu

NURUL HIDAYAH HAMID

Anggota KPDN Kubang Pasu melakukan pemeriksaan di kedai runcit sekitar daerah Kubang Pasu.
Anggota KPDN Kubang Pasu melakukan pemeriksaan di kedai runcit sekitar daerah Kubang Pasu.
A
A
A

KUBANG PASU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah memberi jaminan bekalan gula di daerah Kubang Pasu mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, sehubungan itu, pengguna tidak perlu panik dengan isu membabitkan komoditi tersebut.

Beliau berkata, pengguna dinasihat supaya tidak membuat pembelian panik sehingga boleh menimbulkan kacau ganggu terhadap bekalan gula di negeri ini.

"Kami telah melakukan pemeriksaan terhadap premis pemborong dan peruncit rentetan daripada beberapa aduan rakyat tempatan yang menyatakan kesukaran pengguna untuk mendapatkan bekalan gula di sekitar kawasan Kubang Pasu.

"Hasil tinjauan dan pemeriksaan di premis sekitar mendapati stok gula masih banyak dan mencukupi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Affendi berkata, pihaknya juga telah mengadakan sesi libat urus dengan pemborong utama gula bagi membincangkan dan mencari langkah untuk mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam pasaran berlaku

Menurutnya, peniaga atau pemborong turut diingatkan supaya tidak menyorokkan gula dan menaikkan harga gula sesuka hati yang membolehkan tindakan tegas dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan itu melalui talian bebas tol 1-800-886-800, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03 8882 6088 / 6245, aduan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317 atau secara atas talian http://eaduan.kpdn.gov.my.